Social Icons

Sunday, January 1, 2012

KHAS: IMBASAN MENARIK SEPANJANG 2011


SALAM MAHASISWA JOHOR UKM. 
Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat. 
Semoga kita semua dalam keadaan sihat sejahtera dan sentiasa dinaungi rahmat juga redha ilahi dalam menuntut ilmu di bumi UKM tercinta ini.

Entry khas ini adalah bersempena menyambut ketibaan tahun baru 2012, untuk mengimbas kembali segala program atau aktiviti yang telah kami laksanakan sepanjang tahun 2011 ini iaitu bermula pada Januari hingga Disember 2011. 


KARNIVAL SUKAN ANAK JOHOR (KSAJ)

Taqwim PERMAJ 2011 dimulakan dengan penganjuran satu program mega iaitu Karnival Sukan Anak Johor (KSAJ) IPTA, yang telah berjaya diadakan julung kalinya pada 28 hingga 30 Januari di Kompleks Sukan UKM. Boleh dikatakan KSAJ ini adalah projek terakhir PERMAJ bagi sesi 2009/2010.


      Karnival sukan ini telah disertai oleh seluruh mahasiswa/i anak Johor iaitu daripada Universiti Kebangsaan Malaysia selaku tuan rumah dan penganjur, Universiti Malaya, Universiti Sains Malaysia, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Universiti Malaysia Terengganu, Universiti Utara Malaysia, Kolej Antarabangsa Linton, dan Gerakan Belia 4B Negeri Johor selaku pasukan jemputan. Acara sukan yang dipertandingkan adalah futsal, bola tampar dan badminton sebagai acara terbuka lelaki dan wanita. Manakala acara khusus iaitu sepak takraw lelaki dan bola jaring wanita. Karnival sukan ini berjaya menghimpunkan lebih 500 orang mahasiswa/i anak Johor IPTA. 



LAWATAN SAMBIL BELAJAR SMK TUN DR ISMAIL, BAKRI

Pada 15 Mac 2011, PERMAJ telah menyelia satu program lawatan sambil belajar iaitu pelajar-pelajar daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Dr Ismail, Bakri, Muar yang terdiri seramai 35 orang pelajar dan 4 orang guru pengiring. Antara tempat-tempat yang kami bawa untuk dilawati ialah Bangunan Canselori, Muzium Akademik, Perpustakaan Tun Sri Lanang dan Kolej Kediaman Aminuddin Baki. 




MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-35

Mesyuarat Agung Tahunan atau AGM kali ke-35 ini telah diadakan pada 20 Mac 2011 bertempat di Auditorium Siswa, Pusanika UKM yang dihadiri oleh barisan penasihat, exco-exco, ahli-ahli dan barisan alumni. AGM ini dirasmikan oleh Tuan Hj Mohd Hanafiah bin Omar selaku penasihat PERMAJ. Agenda mesyuarat termasuklah pembentangan laporan program dan aktiviti sepanjan tahun 2010 dan juga laporan kewangan PERMAJ. AGM ini menandakan bahawa tamatnya kepimpinan PERMAJ sesi 2009/2010 di bawah Presiden, Saudara Mohd Hafiz Bin Mohd Rais. Maka bermulalah atau diteruskan Legasi PERMAJ di bawah barisan kepimpinan baru yang dipimpin oleh Saudara Muhamad Zamir Safwan Bin Mohd Kamal dengan harapan yang tinggi Kegemilangan PERMAJ akan dapat diteruskan demi anak-anak Johor sekalian.




KURSUS INDUKSI EXCO

Kursus Induksi Exco ini telah diadakan pada 26 hingga 27 Mac 2011 di Hutan Bandar Johor Bahru. Kursus ini adalah khas diadakan setelah PERMAJ di bawah barisan kepimpinan baru, seminggu selepas Mesyuarat Agung Tahunan diadakan. Seramai 25 orang exco daripada 34 orang yang baru dilantik telah menyertai kursus induksi ini. Sementara itu, dalam masa yang sama juga, kursus ini telah berjaya mengumpulkan seangkatan 13 generasi Legasi PERMAJ iaitu daripada sesi 1998 hinggalah sekarang. Betapa kukuhnya ikatan kekeluargaan di dalam PERMAJ ini.

           Pelbagai aktiviti yang dilakukan sepanjang kursus ini, yang mana bertujuan untuk mengeratkan jalinan ukhwah sesama barisan exco yang baru. Untuk membentuk suatu organisasi yang kukuh dan hebat, anggotanya perlu terdiri dari kalangan mereka yang teguh dan tinggi jati diri. Maka di sinilah tempatnya untuk mencapai misi tersebut. Barisan alumni bertanggungjawab melaksanakan segala aktiviti tersebut, antaranya pelbagai sesi LDK, explore race dari hutan bandar ke zoo Johor, bekerja di Plaza Kotaraya dengan khidmat percuma, menjual barangan dan pakaian, riadah dan banyak lagi. Segalanya ini untuk mewujudkan barisan exco yang mampu menggalas amanah demi PERMAJ.





MAJLIS PELANCARAN GABUNGAN ANAK PAGOH (GAPa)

Majlis Pelancaran GAPa telah diadakan pada 30 April 2011 bertempat di Kompleks Sukan Pagoh, Muar. Tujuan pelancaran ini adalah untuk membentuk Gabungan Anak Pagoh (GAPa) secara rasmi yang berfungsi sebagai organisasi yang dapat menyumbang kepada masyarakat Pagoh. Majlis Pelancaran ini telah disempurnakan oleh Y.A.B Tan Sri Dato’ Hj Muhyiddin bin Hj Mohd Yassin iaitu Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Ahli Parlimen Pagoh juga sebagai Penaung GAPa dan telah disertai oleh lebih 1,000 orang penduduk Pagoh dan mahasiswa/i yang berasal dari Pagoh yang kini menuntut di beberapa IPTA, antaranya UKM, UPM, USIM, UTHM dan UiTM.


         Penubuhan Gabungan Anak Pagoh (GAPa) IPTA merupakan cetusan idea dan hasrat Y.A.B Timbalan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Pagoh, sebagai satu pendekatan dan usaha untuk mengumpulkan kelompok pentadbir, pensyarah dan mahasiswa dari IPTA seluruh negara yang berasal dari Pagoh. Tujuan utama penubuhan ini adalah mempertingkatkan kecemerlangan serta pembangunan modal insan dalam kalangan komuniti Parlimen Pagoh khususnya generasi muda dengan memberikan tumpuan penting dalam bidang pendidikan, sosio-ekonomi dan juga bidang-bidang yang lain, dengan harapan dapat membentuk satu komuniti Parlimen Pagoh yang gemilang dan berdaya saing serta setanding dengan komuniti lain di seluruh negara. Penubuhan GAPa IPTA ini dilihat sebagai satu platform yang dapat mewujudkan jaringan antara kelompok sasaran dengan ahli komuniti Pagoh untuk saling berhubung dan berkongsi maklumat demi kesejahteraan bersama.



LAWATAN SAMBIL BELAJAR SK KAMPUNG CHAMEK, PALOH, KLUANG

Pada 22 MEI 2011, PERMAJ telah menyelia satu program lawatan sambil belajar iaitu pelajar-pelajar daripada Sekolah Kebangsaan Kampung Chamek, Paloh, Kluang. Seramai 68 orang pelajar Darjah Enam yang bakal menduduki UPSR, 4 orang guru pengiring dan 8 orang ibubapa pelajar telah terlibat dalam lawatan ini. Antara aktiviti yang kami laksanakan dalam lawatan ini ialah sesi pengenalan PERMAJ, melawat ke bilik-bilik kuliah di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) dan Bangunan Pusanika. 




LAWATAN SAMBIL BELAJAR SMK BANDAR TENGGARA, KULAI

Pada 30 Mei 2011, Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Tenggara, Kulai telah mengadakan lawatan ilmiah ke UKM. Seramai 60 orang pelajar Tingkatan Enam dan 5 orang guru pengiring terlibat dalam lawatan ini. Antara aktiviti yang kami laksanakan dalam lawatan ini ialah sesi pengenalan PERMAJ, melawat ke Bangunan Canselori, Muzium Akademik, Perpustakaan Tun Sri Lanang dan slot motivasi bersama penasihat PERMAJ, Prof Madya Dr Salleh Bin Amat di Fakulti Pendidikan. 





KEM KEPIMPINAN DAN JATI DIRI, SMK SRI RAHMAT, JOHOR BAHRU

Pada 24 hingga 26 Jun 2011, PERMAJ telah mengadakan Kem Kepimpinan Dan Jati Diri bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Rahmat, Johor Bahru. Seramai 8 orang exco PERMAJ terlibat dalam program ini dengan dibantu oleh beberapa orang abang/kakak alumni bagi melaksanakan misi terhadap 80 orang pelajar sekolah tersebut yang rata-ratanya adalah daripada senarai Unit Kaunseling & Bimbingan. Kami difahamkan sebahagian besar mereka pernah dikenakan hukuman gantung sekolah dan diberi amaran oleh pihak disiplin sekolah. Maka kami menjalankan program ini dengan beberapa modul khas dengan harapan objektifnya tercapai iaitu membentuk golongan pelajar yang teguh ciri kepimpinan dan ketinggian jati diri.





MAJLIS BERBUKA PUASA MAHASISWA/I IPT MUAR

Pada 17 Ogos 2011, PERMAJ dan Rangkaian Anak Muar Se-Malaysia (RAM) telah mengadakan Majlis Berbuka Puasa Mahasiswa/i IPT Muar bersama Y.B. Dato` Razali Bin Haji Ibrahim, Timbalan Menteri Belia Dan Sukan merangkap Ahli Parlimen Muar. Majlis ini bertempat di Masjid Al-Ehsan, Parit Jawa, Muar. 

            Majlis ini telah dihadiri hampir 700 orang termasuklah exco-exco PERMAJ, urusetia RAM, pelajar-pelajar Muar yang bakal masuk ke universiti, pelajar universiti seluruh Malaysia yang menetap di Muar, Belia Muar dan penduduk kampung. Aktiviti yang telah dijalankan sepanjang hari adalah slot bersama Biro Tata Negara (BTN), bersama fasilitator dari pelbagai IPT, Majlis Khatam Al-Quran, Majlis Penyerahan Wang Pendahuluan Diri (WPD) oleh pihak PTPTN, dan kemudian Majlis Berbuka Puasa, Solat Tarawih dan berakhir dengan moreh. 





MINGGU PENGENALAN PERSATUAN PELAJAR 2011/2012

Bertempat di Pusanika (Kampus Bangi) pada 19 hingga 23 September 2011 dan di Kampus KL pada 19hb, PERMAJ telah terlibat dan mengambil bahagian dalam program tahunan kampus anjuran pihak Jabatan Perkhidmatan Pelajar (JPPel) iaitu Minggu Pengenalan Persatuan / Kelab / Urusetia. Program yang berlangsung selama satu minggu ini adalah bertujuan untuk memberi peluang kepada para pelajar baru yang mendaftar bagi sesi akademik 2011/2012 ini untuk lebih mengenali setiap persatuan / kelab / urusetia / sekretariat yang terdapat di UKM. 

       Antara aktiviti sepanjang program ini ialah Sesi Pendaftaran Ahli Baru, Pameran Persatuan dan Persembahan Multimedia. Setiap persatuan yang terlibat telah sedaya upaya menggunakan segala kreativiti mereka bagi memeriahkan program termasuklah kami. Pihak JPPel turut menganjurkan Pertandingan Pameran Terbaik bagi setiap persatuan menonjolkan segala kelebihan mereka. Dan alhamdulillah, nasib menyebelahi PERMAJ apabila memenangi tempat kedua Anugerah Pameran Terbaik. Kami berjaya mencatatkan jumlah pendaftaran ahli baru seramai 226 orang di Kampus Bangi dan 21 orang di Kampus KL. Syabas dan terima kasih kepada semua. 





LAWATAN SAMBIL BELAJAR SMK SERI SEMBRONG, KLUANG

Pada 22 September 2011, Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Sembrong, Kluang telah mengadakan lawatan sambil belajar ke UKM. Seramai 35 orang pelajar dan 3 orang guru pengiring terlibat dalam lawatan ini. Antara aktiviti yang kami laksanakan dalam lawatan ini ialah sesi pengenalan PERMAJ, melawat ke Bangunan Canselori, Muzium Akademik, FSSK, Perpustakaan Tun Sri Lanang, Kolej Kediaman Pendeta Za'ba dan slot motivasi bersama penasihat PERMAJ, Tuan Hj Mohd Hanafiah Bin Omar di Fakulti Pendidikan.




PROGRAM SEMARAK GENERASI TA'ZIM (PROGET)

Pada 28 hingga 30 Oktober 2011, PERMAJ telah mengadaka Program Semarak Generasi Ta'zim (PROGET) bertempat di Kem Saujana Asahan, Jasin, Melaka. Seramai 50 orang peserta iaitu 20 orang exco PERMAJ dan 30 orang ahli baru telah terlibat menjayakan program ini. Alhamdulillah, PROGET berakhir dengan meriah & jayanya. Pelbagai aktiviti kami lakukan sepanjang 2 hari 2 malam di sana, termasuklah Sesi LDK, Riadah, Jungle Trekking, Sukaneka, Malam Kebudayaan, Flying Fox, Abseiling dan aktiviti santai lain. 





MOBILITI PENYELIDIKAN KE BANDUNG, INDONESIA

Pada 5 hingga 12 November 2011, seramai 8 orang penyelidik PERMAJ telah diterbangkan ke Indonesia untuk menjalankan satu penyelidikan di Universitas Padjadjaran, Bandung. Penyelidikan yang bertajuk Perbezaan dan Persamaan Sistem Pembelajaran Kampus Terutamanya Aspek Penggunaan Bahasa Inggeris Dalam Proses Pengajaran Dan Pembelajaran. Alhamdulillah, lebih kurang seminggu berada di bumi Indonesia, para penyelidik dapat menjalankan tugasan dengan baik dan berjalan dengan lancar. Kejayaan ini diharap dapat dijadikan titik tolak untuk mengukir kejayaan yang lebih tinggi pada masa hadapan. Selain dapat menjalankan penyelidikan di UNPAD, para penyelidik juga berpeluang melancong ke beberapa tempat yang menarik di sekitar Bandung dan Jakarta. TAHNIAH!





~ CEMERLANG BERSAMA JOHOR ~

Sunday, December 18, 2011

OPERASI KHIDMAT MASYARAKAT (OPKIM) 2012


OPERASI KHIDMAT MASYARAKAT (OPKIM) 2012

Tarikh : 21 hingga 25 Januari 2012
Tempat : Kg Parit Marjunid, Mukim Sg Pinggan, Benut, Pontian, Johor

Dipersilakan semua ahli PERMAJ untuk menyertai.
Kepada Tahun 1 dan 2, PROGRAM INI DITAWARKAN LC !! 
Boleh capai 4 kredit !! (BERGANTUNG KEPADA PENILAIAN PAP)

Daftar sekarang sebagai AJK urusetia program dan Peserta.
Untuk menyertai, sila hubungi: Nadzirah (017-7665546) dan Fatiha (013-6810390).
BERIKAN NAMA PENUH ANDA, NO TEL, NO MATRIK & NO I/C.

Join program, dapat LC / Keluarga Angkat / Sijil Penyertaan / Jimat kos tambang balik Johor. 
Program ini TIDAK DIKENAKAN BAYARAN kecuali dinyatakan. 

MISI :
Berbakti dan menyumbang kepada masyarakat. menjalinkan ikatan yang utuh antara mahasiswa dengan masyarakat. menonjolkan keperibadian dan jatidiri mahasiswa/i yang tinggi sebagai tauladan kepada masyarakat disamping membantu meningkatkan kecemerlangan melalui paduan antara ilmu, teori dan pengamalan ke arah kesejahteraan masyarakat dalam membangunkan prasarana fizikal dan pembangunan insaniah.

TENTATIF :

20 JANUARI 2012 (Jumaat Malam / Bertolak dari UKM)

11.00 pm : Berkumpul / Pendaftaran peserta di Pusanika
11.30 pm : Bertolak ke destinasi


21 JANUARI 2012 (Sabtu)

09.00 am : Peserta Program tiba di Dewan Serbaguna Kampung Parit Marjunid, Pontian
09.30 am : Taklimat Program oleh Penyelaras Program
10.00 am : Majlis Perasmian Pembukaan Dan Penyerahan Anak Angkat
12.00 pm : Makan Tengahari
02.00 pm : Peserta pulang ke rumah keluarga angkat masing-masing.
Solat Zohor dan Rehat / Bersama keluarga angkat.

07.00 pm : Berada di Masjid Jamek Kampung Parit Marjunid, Pontian.
Solat Maghrib, Majlis Bacaan Yaasin/Tahlil serta Solat Isyak dan Tazkirah.
Kenduri Ambeng.

10.00 pm : Bersama keluarga angkat.


22 JANUARI 2012 (Ahad)

07.30 am : J-Robik / Riadah pagi di Dewan Serbaguna Kampung Parit Selangor
08.30 am : Program Gotong Royong.
Merangkumi 3 buah kampung: Kg. Pt. Marjunid, Kg. Pt. Selangor dan Kg. Pt. Seraya.
Menceriakan kawasan sekitar kampung dengan penanaman pokok.


12.30 pm : Berkumpul di Dewan Serbaguna Kampung Parit Selangor.
Rewang / Makan Tengah Hari.
Rehat / Solat Zohor di masjid.

02.30 pm : Acara keluarga.
- Peserta bersama keluarga angkat : Pertandingan gubahan lipatan tuala, hiasan hantaran perkahwinan dan jahitan.
- Kanak-kanak : Pertandingan melukis dan mewarna. 

04.30 pm : Rehat / Solat Asar di masjid
05.00 pm : Perlawanan persahabatan futsal, badminton dan sepak takraw.
07.00 pm : Solat / Makan Malam / Bersama keluarga angkat.
09.00 pm : Berkumpul di Dewan Serbaguna Kampung Parit Marjunid
Ceramah Kenegaraan Oleh Biro Tatanegara.

11.30 pm : Jamuan dan Rehat / Bersama keluarga angkat.


23 JANUARI 2012 (Isnin)

08.00 am : Pameran Dan Pemeriksaan Kesihatan di Dewan Kampung Parit Seraya.
12.00 pm : Pulang ke rumah keluarga angkat masing-masing.
05.00 pm : Sukaneka
07.00 pm : Rehat / Bersama keluarga angkat.
09.00 pm : Pertandingan Karaoke Suka-suka. Di Dataran Parit Marjunid.


24 JANUARI 2012 (Selasa)

08.00 am : Berkumpul di Dewan Serbaguna Kampung Parit Marjunid
08.30 am : Program Motivasi / Bengkel Pemantapan Pendidikan.
Pelajar Sek. Menengah di Dewan Serbaguna Kampung Parit Marjunid. Bersama Tuan Feriz Omar.
Pelajar Sek. Rendah di SK Seri Ulum. 

12.00 pm : Pulang ke rumah keluarga angkat masing-masing.
05.00 pm : Rewang / Raptai Malam Kebudayaan.
09.00 pm : Malam Kebudayaan.
Persembahan Zapin, Kompang, Silat, Nasyid oleh peserta dan belia kampung.
  11.00 pm : Rehat / Bersama keluarga angkat.


25 JANUARI 2012 (Rabu)

07.00 am : Bersama keluarga angkat
10.00 am : Majlis Perasmian Penutupan Dan Penyerahan Kembali Anak Angkat
11.00 am : Jamuan makan.
12.00 pm : Peserta pulang ke destinasi masing-masing.

p/s: Tentatif tertakhluk kepada perubahan.


" 1TRANSFORMASI MAHASISWA & KOMUNITI ”
~ CEMERLANG BERSAMA JOHOR ~

Friday, December 16, 2011

Pelaksanaan Kokurikulum Berkredit Berasaskan Kontrak Pembelajaran (Learning Contract) - Pembangunan Insaniah

SALAM MAHASISWA JOHOR UKM. 
Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat. 
Semoga kita semua dalam keadaan sihat sejahtera dan sentiasa dinaungi rahmat juga redha ilahi dalam menuntut ilmu di bumi UKM tercinta ini. 

Sedikit info yang rasanya perlu diketahui oleh semua mahasiswa UKM terutama tahun 1 dan 2 berkaitan  pelaksanaan kursus Kokurikulum Berkredit Berasaskan Kontrak Pembelajaran atau lebih popular dipanggil Learning Contract (LC). 

Mulai 4 Januari 2011 (Semester 2, Sesi 2010-2011), semua aktiviti / projek yang dijalankan oleh pelajar boleh diiktiraf sebagai kokurikulum berkredit berasaskan kontrak pembelajaran. Dan bermula pada 1 Jun 2011, semua aktiviti / projek yang dijalankan oleh pelajar mestilah mendapat kelulusan daripada Jabatan Perkhidmatan Pelajar (JPPel) sebelum dinilai dan diiktiraf oleh Pusat Akreditasi Pembelajaran (PAP).

Maksimum bagi setiap projek / aktiviti yang hendak dijalankan adalah 4 jam kredit (kecuali PALAPES, SUKSIS & SISPA). Walau bagaimanapun, ianya adalah tertakluk kepada keputusan Jawatankuasa Penilaian Dan Pengiktirafan, PAP.

Semua projek / program / aktiviti yang dilaksanakan oleh pelajar boleh dijadikan sebagai aktiviti kokurikulum berkredit. Ia bermula dengan perancangan dan persetujuan antara pelajar dan pensyarah / jurulatih untuk menjadikan projek / program / aktiviti tersebut sebagai aktiviti / kegiatan yang akan memenuhi kokurikulum berkredit. Kertas kerja projek / program / aktiviti tersebut hendaklah terlebih dahulu dihantar kepada pihak Jabatan Perkhidmatan Pelajar (JPPel) untuk mendapatkan kelulusan projek / program sebelum dikemukakan kepada pihak Pusat Akreditasi Pembelajaran (PAP). 

Setiap kontrak pembelajaran yang dihantar ke PAP akan melalui proses penilaian sebelum ia diiktiraf sebagai memenuhi keperluan kokurikulum berkredit. Ia bermula setelah projek / program / aktiviti tersebut diluluskan oleh pihak JPPel. Ketua / Pengarah projek perlu menyediakan dan menghantar kepada PAP satu salinan kontrak pembelajaran umum dahulu yang meliputi secara am keseluruhan hasil pembelajaran dan jam aktiviti/notional yang akan dipenuhi oleh projek / program / aktiviti tersebut. 

Setelah kontrak pembelajaran umum ini dinilai dan diluluskan oleh PAP, maka setiap ahli dalam organisasi projek / program tersebut perlu menyediakan kontrak pembelajaran individu yang meliputi hasil pembelajaran dan jam aktiviti/notional yang akan dicapai berdasarkan peranan / jawatan masing-masing di dalam projek / program tersebut. Kontrak pembelajaran individu ini perlu dihantar kepada PAP untuk dinilai dan diiktiraf oleh Panel Penilai dan Pengiktirafan PAP. Setelah ia dinilai dan diiktiraf sebagai memenuhi keperluan kokurikulum berkredit khususnya dari segi bilangan hasil pembelajaran serta bilangan jam kredit yang akan dicapai, maka pensyarah/jurulatih sebagai penyelia projek boleh memberikan markah dan gred pencapaian hasil pembelajaran yang dicapai daripada projek / program tersebut.

Setelah pelajar mencapai dan memenuhi 8 hasil pembelajaraan serta 8 kredit kokurikulum, maka pelajar tersebut telah menamatkan keperluan kokurikulum berkredit serta layak untuk mendapat transkrip kokurikulum.


Sehubungan itu, kami di PERMAJ UKM sedia membantu anda menjalankan projek / program / aktiviti bagi memenuhi keperluan kontrak pembelajaran (LC) tersebut. Sama ada dengan menyertai kami untuk  melaksanakan projek / program yang telah kami rancangkan, mahupun dari cadangan anda sendiri. Perancangan projek / program PERMAJ UKM bagi sesi 2011/2012 ini boleh rujuk di (Taqwim PERMAJ). 

Untuk pengetahuan semua, terdapat 3 kategori atau tahap peringkat sesuatu projek / program di UKM :

1) Projek Top-Down iaitu dianjurkan atau diseliakan oleh pihak pentadbiran. Contohnya :

- Larian Merdeka, SUKEM, MASUM
- Bantuan Bencana Alam
- Pesta Konvokesyen
- PALAPES, SUKSIS, SISPA
- Minggu Mesra Pelajar (MMP), Kursus Bakal Calon Majlis Perwakilan Pelajar (MPP)
- Festival Seni
- Silang Budaya, Mobiliti Pelajar
- Lain-lain aktiviti / projek yang diarah dari masa ke semasa.

2) Projek Setara, dianjurkan dan dijalankan sepenuhnya oleh pelajar melalui persatuan / kelab / sekretariat yang terdapat di UKM. Contohnya :

- Majlis Makan Malam
- Hari Keluarga, Hari Terbuka
- Karnival Anak Negeri / Pengenalan Persatuan
- Karnival Keusahawanan, Kerjaya
- Karnival Rakan Muda IPT
- Ihya' Ramadhan, Majlis Hari Raya
- Pesta Ang Pau, Pesta Tanglung, Ponggal
- Perkampungan JAKSA, Kursus JAKSA
- Program Khidmat Masyarakat
- Lain-lain aktiviti / projek yang setara.

3) Projek Bottom-Up, dianjurkan oleh pelajar sendiri. Contohnya :

- Aktiviti / projek yang dimohon oleh pelajar selain daripada Projek Top-Down dan Projek Setara.


Mulai 1 Januari 2012, proses pelaksanaan Kokurikulum Berkredit Berasaskan Kontrak Pembelajaran (LC) HHHC 9118 - Pembangunan Insaniah hendaklah dibuat secara online melalui Sistem Pembangunan Insaniah (SPI) di http://smp.ukm.my/spi.  


Buku panduan boleh didapatkan di sini.



Maklumat dan info lanjut hubungi :

PUSAT AKREDITASI PEMBELAJARAN (PAP)
UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA
Aras 5, Bangunan PUSANIKA
43600 UKM Bangi
Selangor Darul Ehsan.

Tel: 0389213147
Faks: 0389258431

Monday, December 5, 2011

Jom Puasa Sunat 9 dan 10 Muharram


Kisah disebalik Puasa 9 dan 10 Muharram :

Ibn Abbas meriwayatkan yang bermaksud: “Apabila Nabi SAW datang ke Madinah, Baginda melihat orang-orang Yahudi berpuasa pada hari ‘Asyura, lalu Baginda bertanya: "Apakah ini?". Mereka menjawab: “Hari ini adalah hari yang baik di mana Allah telah menyelamatkan padanya Nabi Musa dan Bani Israil daripada musuh mereka, maka Musa pun berpuasa”. Lalu Baginda SAW bersabda: "Aku lebih berhak dengan Musa daripada kamu," maka Baginda pun berpuasa dan menyuruh orang ramai supaya berpuasa”. (Riwayat al-Bukhari)

Daripada Ibn Abbas r.a berkata (maksudnya): “Ketika Rasulullah SAW berpuasa pada hari ‘Asyura, Baginda turut mengarahkan orang ramai supaya turut berpuasa. Lalu mereka berkata: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya hari ini adalah hari yang dibesarkan oleh kaum Yahudi dan Nasrani. Lalu Rasulullah SAW bersabda lagi: "Sekiranya di tahun depan, jika diizinkan Allah, kita akan berpuasa pada hari ke-9". Ibn Abbas berkata: Tidak sempat munculnya tahun hadapan, Rasulullah SAW wafat terlebih dahulu.” (Riwayat Imam Muslim)

Kisah disebalik 10 Muharram :

Banyak peristiwa bersejarah yang berlaku pada 10 Muharam ini, di mana pada hari inilah, Allah telah memuliakan Nabi-Nabi dengan sepuluh kehormatan.

1. Setelah beratus-ratus tahun meminta ampun dan taubat pada Allah, maka pada hari yang bersejarah 10 Muharam inilah, Allah telah menerima taubat Nabi Adam. Ini adalah satu penghormatan kepada Nabi Adam a.s.

2. Pada 10 Muharam juga, Nabi Idris a.s telah di bawa ke langit, sebagai tanda Allah menaikkan darjat baginda.

3. Pada 10 Muharam, tarikh berlabuhnya perahu Nabi Nuh a.s kerana banjir yang melanda seluruh alam di mana hanya ada 40 keluarga termasuk manusia binatang sahaja yang terselamat dari banjir tersebut. Kita merupakan cucu-cicit antara 40 keluarga tadi. Ini merupakan penghormatan kepada Nabi Nuh a.s kerana 40 keluarga ini sahaja yang terselamat dan dipilih oleh Allah. Selain dari itu, mereka adalah orang-orang yang engkar pada Nabi Nuh a.s.

4. Nabi Ibrahim dilahirkan pada 10 Muharam dan diangkat sebagai Khalilullah (kekasih Allah) dan juga hari di mana baginda diselamatkan dari api yang dinyalakan oleh Namrud. Nabi Ibrahim diberi penghormatan dengan Allah memerintahkan kepada api supaya menjadi sejuk dan tidak membakar Nabi Ibrahim. Maka terselamatlah Nabi Ibrahim dari angkara kekejaman Namrud.

5. Pada 10 Muharam ini juga Allah menerima taubat Nabi Daud kerana Nabi Daud merampas isteri orang walaupun bagainda sendiri sudah ada 99 orang isteri, masih lagi ingin isteri orang. Oleh kerana Nabi Daud telah membuatkan si suami rasa kecil hati, maka Allah turunkan dua malaikat menyamar sebagai manusia untuk menegur dan menyindir atas perbuatan Nabi Daud itu. Dengan itu sedarlah Nabi Daud atas perbuatannya dan memohon ampun pada Allah. Sebagai penghormatan kepada Nabi Daud a.s maka Allah mengampunkan baginda pada 10 Muharam.

6. Pada 10 Muharam ini juga, Allah mengangkat Nabi Isa ke langit, di mana Allah telah menukarkan Nabi Isa dengan Yahuza. Ini merupakan satu penghormatan kepada Nabi Isa daripada kekejaman kaum Bani Israil.

7. Allah juga telah menyelamatkan Nabi Musa pada 10 Muharam daripada kekejaman Firaun dengan mengurniakan mukjizat iaitu tongkat yang dapat menjadi ular besar yang memakan semua ular-ular ahli sihir dan menjadikan laut terbelah untuk dilalui oleh tentera Nabi Musa dan terkambus semula apabila dilalui oleh Firaun dan tenteranya. Maka tenggelamlah mereka di Laut Merah. Mukjizat yang dikurniakan Allah kepada Nabi Musa ini merupakan satu penghormatan kepada Nabi Musa a.s.

8. Allah juga telah menenggelamkan Firaun, Haman dan Qarun serta kesemua harta-harta Qarun dalam bumi kerana kezaliman mereka. 10 Muharam, merupakan berakhirnya kekejaman Firaun buat masa itu.

9. Allah juga telah mengeluarkan Nabi Yunus dari perut ikan setelah berada selama 40 hari di dalamnya. Allah telah memberikan hukuman secara tidak langsung kepada Nabi Yunus dengan cara ikan Nun menelannya. Dan pada 10 Muharam ini, Allah mengurniakan penghormatan kepada baginda dengan mengampun dan mengeluarkannya dari perut ikan Nun.

10. Allah juga telah mengembalikan kerajaan Nabi Sulaiman a.s pada 10 Muharam sebagai penghormatan kepada baginda.

Daripada Abdullah bin Ma’bad az-Zamani daripada Abu Qatadah bahawa nabi s.A.W telah bersabda yang bermaksud : Berpuasa pada hari ‘Asyura (kesepuluh Muharram) sesungguhnya aku mengharapkan atas Allah SWT bahawa Dia akan menghapuskan dosa setahun yang sebelumnya. (Riwayat Imam Tarmizi)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...