Social Icons

Monday, October 11, 2010

Tunku Mahkota Johor diisytihar sebagai Pro Canselor UTHM

BATU PAHAT: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar hari ini mengisytiharkan anakanda baginda, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai Pro-Canselor Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) sempena konvokesyen ke-10 universiti itu, hari ini.

Sultan Ibrahim yang juga Canselor UTHM turut menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pengurusan Teknologi) kepada mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.


Pada majlis yang sama, baginda turut menyampaikan watikah anugerah Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pendidikan Teknikal) kepada Mantan Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Politeknik, Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Imran Idris.


Hadir sama di majlis itu adalah isteri baginda, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris; Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman dan Naib Canselor UTHM Profesor Datuk Dr Mohd Noh Dalimin.


Dalam titahnya pada majlis itu, Sultan Johor antara lain menggesa mahasiswa menajamkan minda dan intelek melalui konsep pendidikan yang berkesan.


Baginda bertitah, mahasiswa juga perlu memperteguh jati diri dan kemahiran insaniah melalui aktiviti kokurikulum yang dinamik dan menarik.


"Usaha untuk meningkatkan dan memperteguhkan jati diri serta kemahiran insaniah mahasiswa perlu menjadi agenda penting universiti.


"Kursus-kursus dan aktiviti kokurikulum harus dirangka dan dilaksanakan secara lebih berkesan serta dikendalikan oleh tenaga-tenaga pakar yang bertauliah," titah baginda.


Sultan Ibrahim juga mahu universiti bersedia meneroka bidang-bidang baru yang lebih dinamik dan berkesan sebagai pengembangan program kokurikulum sedia ada.


Baginda bertitah, ini kerana generasi muda di kampus adalah golongan yang dahagakan perubahan dan cabaran.-Bernama

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...