Social Icons

Tuesday, March 16, 2010

SELEMBAR BICARA DARI PRESIDEN PERMAJ SESI 2009/2010


Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,


Marilah sama-sama kita memanjat kesyukuran kepada Allah S.W.T. kerana dengan izin, kurnia dan InayahNya, kita masih lagi diberi peluang dan ruang untuk bersama-sama dalam meneruskan usaha serta dapat menjalani kehidupan kita sebagai hamba Allah dalam keadaan aman dan sejahtera. Justeru itu, bersama-samalah kita menjaga hubungan dan memantapkan akidah pegangan kita kepada Allah Ta’ala dan dalam masa yang turut menjaga hubungan kita sesama makhluk yang lain di atas muka bumi yang serba sempurna ini.

Jutaan terima kasih diucapkan kepada seluruh ahli Persatuan Mahasiswa Anak Johor(PERMAJ) Universiti Kebangsaan Malaysia sekalian kerana telah memberi peluang dan kepercayaan kepada pihak kami barisan baru untuk menduduki kepimpinan PERMAJ pada sesi ini. Terima kasih juga diucapkan di atas sokongan, dorongan dan penglibatan anda semua dalam setiap aktiviti dan program PERMAJ selama ini. Kami barisan pimpinan PERMAJ sesi 2009/2010 akan sentiasa berusaha mempertingkat mutu perkhidmatan kami ke arah yang lebih cemerlang di samping merapatkan lagi nilai kekluargaan antara pimpinan PERMAJ dengan ahli serta masyarakat amnya.

Rakan-rakan mahasiswa/i yang disanjungi sekalian,

Pepatah ada menyatakan bahawa “patah tumbuh hilang berganti” dan “manakan jatuh kuah kalau bukan ke nasi”. Kata-kata seumpama ini cukup sinonim apabila tibanya sesi baru dan pertukaran tampuk kepimpinan yang lain. Hakikatnya, kami semua amat berterima kasih kepada semua insan yang telah berjasa besar dalam membantu kami dalam memberi tunjuk ajar serta nasihat yang mencurah-curah. Semua itu adalah permainan dunia yang mengajar kita erti kehidupan sebenar bahawa setiap yang bermula pasti ada penghujungnya, dan setiap yang pergi pasti ada gantinya. Justeru, saya menyeru kepada pimpinan PERMAJ sesi 2009/2010, untuk kita bersama-sama berusaha sedaya mungkin dalam memperkasa lagi PERMAJ dengan program dan aktiviti pada sesi ini sesuai dengan janji kami untuk meneruskan kesinambungan kecemerlangan PERMAJ agar ia dapat diteruskan untuk mereka-mereka pada amsa akan datang. Dalam pada itu, harus diingatkan bahawa setiap tanggungjawab yang dipikul harus dilaksanakan dengan ikhlas demi memartabatkan PERMAJ dimata Universiti khasnya dan Malaysia amnya.Usaha dan pemantapan gerak kerja bukan hanya untuk menaikkan nama dan imej PERMAJ semata-mata tetapi biarlah ia terkesan di hati naluri warga PERMAJ.

Buat sahabat ahli PERMAJ yang dikasihi sekalian, teruskanlah menyokong segala usaha dan perjalanan yang dirancang oleh kami sepanjang sesi ini. Siapalah kami tanpa sokongan dan dorongan kalian semua. Legasi yang dibina sekian lama akan kami pertahankan. Biar di mana kita berada tapi kita tetap bersama. PERMAJ tidak akan mati dizaman kami, itulah janji kami kerana KITA ADALAH PERMAJ, PERMAJ ADALAH KITA.

Sekian,

Wabillahitaufiq Wal Hidayah Wassalamualaikum W.B.T.


Mohd Hafiz Bin Mohd Rais

Presiden Persatuan Mahasiswa Anak Johor (PERMAJ)

UKM Sesi 2009/2010

TAKWIM PROGRAM BAGI SESI 2010/2011


1) PROGRAM PELANCARAN GABUNGAN ANAK PAGOH (GAPa) IPTA
Tarikh : 30 April 2011
Tempat : Pagoh, Muar
Peserta : 2 buah bas
Pelancaran oleh : Y.A.B. TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN BIN HJ MOHD YASSIN
- Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

2) KEM KEPIMPINAN & JATI DIRI
Tarikh : 24-26 Jun 2011
Tempat : SMK SRI RAHMAT JB
Urusetia/Fasilitator : 40 orang

3) MAJLIS BERBUKA PUASA BERSAMA Y.B. DATO' RAZALI IBRAHIM
Tarikh : 17 Ogos 2011
Tempat : Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Muar
Peserta : 400 orang

4) MINGGU PENGENALAN PERSATUAN
Tarikh : 19-23 September 2011
Tempat : Pusanika, UKM

5) SEHARI BERSAMA PERMAJ - MALAM MESRA
Tarikh : 30 September 2011
Tempat : Pusanika, UKM
Peserta : 200 orang

6) PROGRAM TAUTAN UKHWAH (PTU)
Tarikh : 21-23 Oktober 2011
Tempat : Sekakap, Mersing
Peserta : 100 orang

7) JELAJAH KASIH MAHASISWA JOHOR (JKMJ)
Tarikh : 4 - 6 November 2011
Tempat : Johor Bahru, Kluang dan Segamat.
Urusetia/Peserta : 80 orang

8) OPERASI KHIDMAT MASYARAKAT (OPKIM) PARLIMEN GELANG PATAH
Tarikh : 21-24 Januari 2012
Tempat : Kg Sri Melayu, Gelang Patah
Urusetia/Peserta : 80 orang

9) KARNIVAL KEUSAHAWANAN & KERJAYA 2012 (Minggu 3K)
Tarikh : 5-9 Mac 2012
Tempat : UKM

10) MALAM GEMILANG ANAK JOHOR 2012 (MAGAJ'12)
Tarikh : 7 Mei 2012
Tempat : DECTAR, UKM

CARTA ORGANISASI PERSATUAN MAHASISWA ANAK JOHOR (PERMAJ) UKM SESI 2009 /2010



(klik gambar untuk zoom in)


Sunday, March 14, 2010

Mesyuarat Agong Tahunan PERMAJ Kali Ke 34

Salam PERMAJ, pada 28 Februari 2010 telah diadakan Mesyuarat Agong Tahunan PERMAJ kali ke 34 yang telah dirasmikan oleh Y.Bhg Prof. Dato' Dr. Mohamad Abdul Razak, TNC HEPA UKM merangkap Penasihat Kehormat PERMAJ. Mesyuarat ini telah diadakan di Auditorium Siswa UKM serta turut dihadiri oleh penasihat-penasihat PERMAJ seperti Tuan Haji Jamal B. Ali dan Tuan Haji Hanafiah B. Omar yang telah banyak berjaya dalam membantu PERMAJ dalam mengecapi kejayaan yang dinikmati kini. Barisan Alumni dan senior yang selama ini banyak memberi sokongan dan tunjuk ajar kepada barisan exco juga turut hadir dalam memeriahkan Mesyuarat Agong ini yang bermula pada jam 9.30 pagi.

Mesyuarat ini bertujuan untuk membentangkan laporan keseruluhan PERMAJ sepanjang sesi 2008/2009 meliputi laporan aktiviti dan laporan kewangan. Antara agenda Mesyuarat Agong pada kali ini adalah majlis perasmian oleh Penasihat Kehormat PERMAJ, penyampaian cenderamata kepada barisan penasihat dan exco yang menyumbangkan jasa bakti dalam memastikan legasi kegemilangan PERMAJ berterusan, pembentangan laporan oleh Setiausaha Agong dan Bendahari PERMAJ, Amanat Presiden PERMAJ serta pelantikan Majlis Tertinggi PERMAJ yang baru bagi sesi 2009/2010. Hadirin yang hadir juga diberi peluang untuk menyampaikan cadangan bernas dan kritikan membina yang mampu membantu PERMAJ terus berkembang sebagai antara persatuan yang terunggul di varsiti kita yang tercinta ini. Setiap saranan dan pandangan yang diberikan akan diambil serius oleh barisan kepimpinan yang baru dalam memantapkan lagi PERMAJ sebagai sebuah organisasi yang tersusun, efektif dan efisien.

Jutaan tahniah dan syabas diucapkan kepada barisan kepimpinan exco PERMAJ sesi 2008/2009 di atas amanah, tunjuk ajar, tanggungjawab dan komitmen yang telah dilaksanakan tanpa rasa berbelah bagi, tanpa rasa penat lelah, rasa keluh resah dalam berusaha menjadikan PERMAJ terus gemilang di persada UKM. Semoga hubungan kekeluargaan dan ukhwah yang dibina akan terus kekal mekar dalam sanubari kita sebagai keluarga PERMAJ. Akhir kata selamat menjalankan tugas sebagai exco PERMAJ sesi 2009/2010 dan semoga berjaya meneruskan "Legasi Kegemilangan PERMAJ"

"Cemerlang Bersama Johor"
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...