Social Icons

Sunday, January 1, 2012

KHAS: IMBASAN MENARIK SEPANJANG 2011


SALAM MAHASISWA JOHOR UKM. 
Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat. 
Semoga kita semua dalam keadaan sihat sejahtera dan sentiasa dinaungi rahmat juga redha ilahi dalam menuntut ilmu di bumi UKM tercinta ini.

Entry khas ini adalah bersempena menyambut ketibaan tahun baru 2012, untuk mengimbas kembali segala program atau aktiviti yang telah kami laksanakan sepanjang tahun 2011 ini iaitu bermula pada Januari hingga Disember 2011. 


KARNIVAL SUKAN ANAK JOHOR (KSAJ)

Taqwim PERMAJ 2011 dimulakan dengan penganjuran satu program mega iaitu Karnival Sukan Anak Johor (KSAJ) IPTA, yang telah berjaya diadakan julung kalinya pada 28 hingga 30 Januari di Kompleks Sukan UKM. Boleh dikatakan KSAJ ini adalah projek terakhir PERMAJ bagi sesi 2009/2010.


      Karnival sukan ini telah disertai oleh seluruh mahasiswa/i anak Johor iaitu daripada Universiti Kebangsaan Malaysia selaku tuan rumah dan penganjur, Universiti Malaya, Universiti Sains Malaysia, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Universiti Malaysia Terengganu, Universiti Utara Malaysia, Kolej Antarabangsa Linton, dan Gerakan Belia 4B Negeri Johor selaku pasukan jemputan. Acara sukan yang dipertandingkan adalah futsal, bola tampar dan badminton sebagai acara terbuka lelaki dan wanita. Manakala acara khusus iaitu sepak takraw lelaki dan bola jaring wanita. Karnival sukan ini berjaya menghimpunkan lebih 500 orang mahasiswa/i anak Johor IPTA. 



LAWATAN SAMBIL BELAJAR SMK TUN DR ISMAIL, BAKRI

Pada 15 Mac 2011, PERMAJ telah menyelia satu program lawatan sambil belajar iaitu pelajar-pelajar daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Dr Ismail, Bakri, Muar yang terdiri seramai 35 orang pelajar dan 4 orang guru pengiring. Antara tempat-tempat yang kami bawa untuk dilawati ialah Bangunan Canselori, Muzium Akademik, Perpustakaan Tun Sri Lanang dan Kolej Kediaman Aminuddin Baki. 




MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-35

Mesyuarat Agung Tahunan atau AGM kali ke-35 ini telah diadakan pada 20 Mac 2011 bertempat di Auditorium Siswa, Pusanika UKM yang dihadiri oleh barisan penasihat, exco-exco, ahli-ahli dan barisan alumni. AGM ini dirasmikan oleh Tuan Hj Mohd Hanafiah bin Omar selaku penasihat PERMAJ. Agenda mesyuarat termasuklah pembentangan laporan program dan aktiviti sepanjan tahun 2010 dan juga laporan kewangan PERMAJ. AGM ini menandakan bahawa tamatnya kepimpinan PERMAJ sesi 2009/2010 di bawah Presiden, Saudara Mohd Hafiz Bin Mohd Rais. Maka bermulalah atau diteruskan Legasi PERMAJ di bawah barisan kepimpinan baru yang dipimpin oleh Saudara Muhamad Zamir Safwan Bin Mohd Kamal dengan harapan yang tinggi Kegemilangan PERMAJ akan dapat diteruskan demi anak-anak Johor sekalian.




KURSUS INDUKSI EXCO

Kursus Induksi Exco ini telah diadakan pada 26 hingga 27 Mac 2011 di Hutan Bandar Johor Bahru. Kursus ini adalah khas diadakan setelah PERMAJ di bawah barisan kepimpinan baru, seminggu selepas Mesyuarat Agung Tahunan diadakan. Seramai 25 orang exco daripada 34 orang yang baru dilantik telah menyertai kursus induksi ini. Sementara itu, dalam masa yang sama juga, kursus ini telah berjaya mengumpulkan seangkatan 13 generasi Legasi PERMAJ iaitu daripada sesi 1998 hinggalah sekarang. Betapa kukuhnya ikatan kekeluargaan di dalam PERMAJ ini.

           Pelbagai aktiviti yang dilakukan sepanjang kursus ini, yang mana bertujuan untuk mengeratkan jalinan ukhwah sesama barisan exco yang baru. Untuk membentuk suatu organisasi yang kukuh dan hebat, anggotanya perlu terdiri dari kalangan mereka yang teguh dan tinggi jati diri. Maka di sinilah tempatnya untuk mencapai misi tersebut. Barisan alumni bertanggungjawab melaksanakan segala aktiviti tersebut, antaranya pelbagai sesi LDK, explore race dari hutan bandar ke zoo Johor, bekerja di Plaza Kotaraya dengan khidmat percuma, menjual barangan dan pakaian, riadah dan banyak lagi. Segalanya ini untuk mewujudkan barisan exco yang mampu menggalas amanah demi PERMAJ.





MAJLIS PELANCARAN GABUNGAN ANAK PAGOH (GAPa)

Majlis Pelancaran GAPa telah diadakan pada 30 April 2011 bertempat di Kompleks Sukan Pagoh, Muar. Tujuan pelancaran ini adalah untuk membentuk Gabungan Anak Pagoh (GAPa) secara rasmi yang berfungsi sebagai organisasi yang dapat menyumbang kepada masyarakat Pagoh. Majlis Pelancaran ini telah disempurnakan oleh Y.A.B Tan Sri Dato’ Hj Muhyiddin bin Hj Mohd Yassin iaitu Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Ahli Parlimen Pagoh juga sebagai Penaung GAPa dan telah disertai oleh lebih 1,000 orang penduduk Pagoh dan mahasiswa/i yang berasal dari Pagoh yang kini menuntut di beberapa IPTA, antaranya UKM, UPM, USIM, UTHM dan UiTM.


         Penubuhan Gabungan Anak Pagoh (GAPa) IPTA merupakan cetusan idea dan hasrat Y.A.B Timbalan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Pagoh, sebagai satu pendekatan dan usaha untuk mengumpulkan kelompok pentadbir, pensyarah dan mahasiswa dari IPTA seluruh negara yang berasal dari Pagoh. Tujuan utama penubuhan ini adalah mempertingkatkan kecemerlangan serta pembangunan modal insan dalam kalangan komuniti Parlimen Pagoh khususnya generasi muda dengan memberikan tumpuan penting dalam bidang pendidikan, sosio-ekonomi dan juga bidang-bidang yang lain, dengan harapan dapat membentuk satu komuniti Parlimen Pagoh yang gemilang dan berdaya saing serta setanding dengan komuniti lain di seluruh negara. Penubuhan GAPa IPTA ini dilihat sebagai satu platform yang dapat mewujudkan jaringan antara kelompok sasaran dengan ahli komuniti Pagoh untuk saling berhubung dan berkongsi maklumat demi kesejahteraan bersama.



LAWATAN SAMBIL BELAJAR SK KAMPUNG CHAMEK, PALOH, KLUANG

Pada 22 MEI 2011, PERMAJ telah menyelia satu program lawatan sambil belajar iaitu pelajar-pelajar daripada Sekolah Kebangsaan Kampung Chamek, Paloh, Kluang. Seramai 68 orang pelajar Darjah Enam yang bakal menduduki UPSR, 4 orang guru pengiring dan 8 orang ibubapa pelajar telah terlibat dalam lawatan ini. Antara aktiviti yang kami laksanakan dalam lawatan ini ialah sesi pengenalan PERMAJ, melawat ke bilik-bilik kuliah di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) dan Bangunan Pusanika. 




LAWATAN SAMBIL BELAJAR SMK BANDAR TENGGARA, KULAI

Pada 30 Mei 2011, Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Tenggara, Kulai telah mengadakan lawatan ilmiah ke UKM. Seramai 60 orang pelajar Tingkatan Enam dan 5 orang guru pengiring terlibat dalam lawatan ini. Antara aktiviti yang kami laksanakan dalam lawatan ini ialah sesi pengenalan PERMAJ, melawat ke Bangunan Canselori, Muzium Akademik, Perpustakaan Tun Sri Lanang dan slot motivasi bersama penasihat PERMAJ, Prof Madya Dr Salleh Bin Amat di Fakulti Pendidikan. 





KEM KEPIMPINAN DAN JATI DIRI, SMK SRI RAHMAT, JOHOR BAHRU

Pada 24 hingga 26 Jun 2011, PERMAJ telah mengadakan Kem Kepimpinan Dan Jati Diri bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Rahmat, Johor Bahru. Seramai 8 orang exco PERMAJ terlibat dalam program ini dengan dibantu oleh beberapa orang abang/kakak alumni bagi melaksanakan misi terhadap 80 orang pelajar sekolah tersebut yang rata-ratanya adalah daripada senarai Unit Kaunseling & Bimbingan. Kami difahamkan sebahagian besar mereka pernah dikenakan hukuman gantung sekolah dan diberi amaran oleh pihak disiplin sekolah. Maka kami menjalankan program ini dengan beberapa modul khas dengan harapan objektifnya tercapai iaitu membentuk golongan pelajar yang teguh ciri kepimpinan dan ketinggian jati diri.





MAJLIS BERBUKA PUASA MAHASISWA/I IPT MUAR

Pada 17 Ogos 2011, PERMAJ dan Rangkaian Anak Muar Se-Malaysia (RAM) telah mengadakan Majlis Berbuka Puasa Mahasiswa/i IPT Muar bersama Y.B. Dato` Razali Bin Haji Ibrahim, Timbalan Menteri Belia Dan Sukan merangkap Ahli Parlimen Muar. Majlis ini bertempat di Masjid Al-Ehsan, Parit Jawa, Muar. 

            Majlis ini telah dihadiri hampir 700 orang termasuklah exco-exco PERMAJ, urusetia RAM, pelajar-pelajar Muar yang bakal masuk ke universiti, pelajar universiti seluruh Malaysia yang menetap di Muar, Belia Muar dan penduduk kampung. Aktiviti yang telah dijalankan sepanjang hari adalah slot bersama Biro Tata Negara (BTN), bersama fasilitator dari pelbagai IPT, Majlis Khatam Al-Quran, Majlis Penyerahan Wang Pendahuluan Diri (WPD) oleh pihak PTPTN, dan kemudian Majlis Berbuka Puasa, Solat Tarawih dan berakhir dengan moreh. 





MINGGU PENGENALAN PERSATUAN PELAJAR 2011/2012

Bertempat di Pusanika (Kampus Bangi) pada 19 hingga 23 September 2011 dan di Kampus KL pada 19hb, PERMAJ telah terlibat dan mengambil bahagian dalam program tahunan kampus anjuran pihak Jabatan Perkhidmatan Pelajar (JPPel) iaitu Minggu Pengenalan Persatuan / Kelab / Urusetia. Program yang berlangsung selama satu minggu ini adalah bertujuan untuk memberi peluang kepada para pelajar baru yang mendaftar bagi sesi akademik 2011/2012 ini untuk lebih mengenali setiap persatuan / kelab / urusetia / sekretariat yang terdapat di UKM. 

       Antara aktiviti sepanjang program ini ialah Sesi Pendaftaran Ahli Baru, Pameran Persatuan dan Persembahan Multimedia. Setiap persatuan yang terlibat telah sedaya upaya menggunakan segala kreativiti mereka bagi memeriahkan program termasuklah kami. Pihak JPPel turut menganjurkan Pertandingan Pameran Terbaik bagi setiap persatuan menonjolkan segala kelebihan mereka. Dan alhamdulillah, nasib menyebelahi PERMAJ apabila memenangi tempat kedua Anugerah Pameran Terbaik. Kami berjaya mencatatkan jumlah pendaftaran ahli baru seramai 226 orang di Kampus Bangi dan 21 orang di Kampus KL. Syabas dan terima kasih kepada semua. 





LAWATAN SAMBIL BELAJAR SMK SERI SEMBRONG, KLUANG

Pada 22 September 2011, Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Sembrong, Kluang telah mengadakan lawatan sambil belajar ke UKM. Seramai 35 orang pelajar dan 3 orang guru pengiring terlibat dalam lawatan ini. Antara aktiviti yang kami laksanakan dalam lawatan ini ialah sesi pengenalan PERMAJ, melawat ke Bangunan Canselori, Muzium Akademik, FSSK, Perpustakaan Tun Sri Lanang, Kolej Kediaman Pendeta Za'ba dan slot motivasi bersama penasihat PERMAJ, Tuan Hj Mohd Hanafiah Bin Omar di Fakulti Pendidikan.




PROGRAM SEMARAK GENERASI TA'ZIM (PROGET)

Pada 28 hingga 30 Oktober 2011, PERMAJ telah mengadaka Program Semarak Generasi Ta'zim (PROGET) bertempat di Kem Saujana Asahan, Jasin, Melaka. Seramai 50 orang peserta iaitu 20 orang exco PERMAJ dan 30 orang ahli baru telah terlibat menjayakan program ini. Alhamdulillah, PROGET berakhir dengan meriah & jayanya. Pelbagai aktiviti kami lakukan sepanjang 2 hari 2 malam di sana, termasuklah Sesi LDK, Riadah, Jungle Trekking, Sukaneka, Malam Kebudayaan, Flying Fox, Abseiling dan aktiviti santai lain. 





MOBILITI PENYELIDIKAN KE BANDUNG, INDONESIA

Pada 5 hingga 12 November 2011, seramai 8 orang penyelidik PERMAJ telah diterbangkan ke Indonesia untuk menjalankan satu penyelidikan di Universitas Padjadjaran, Bandung. Penyelidikan yang bertajuk Perbezaan dan Persamaan Sistem Pembelajaran Kampus Terutamanya Aspek Penggunaan Bahasa Inggeris Dalam Proses Pengajaran Dan Pembelajaran. Alhamdulillah, lebih kurang seminggu berada di bumi Indonesia, para penyelidik dapat menjalankan tugasan dengan baik dan berjalan dengan lancar. Kejayaan ini diharap dapat dijadikan titik tolak untuk mengukir kejayaan yang lebih tinggi pada masa hadapan. Selain dapat menjalankan penyelidikan di UNPAD, para penyelidik juga berpeluang melancong ke beberapa tempat yang menarik di sekitar Bandung dan Jakarta. TAHNIAH!





~ CEMERLANG BERSAMA JOHOR ~

1 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...