Oleh Abdul Ghani Nasir
Foto oleh Ikhwan Hashim
Foto oleh Ikhwan Hashim
BANGI, 16 Dis. 2011 – Seorang sarjana sejarah UKM membayangkan kemungkinan kebangkitan semula kuasa ekonomi Melayu di rantau Laut Malayu* berikutan pembangunan Iskandar Johor dan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP).
Profesor Dr Nordin Hussin berkata melihat kepada sejarah perkembangan perdagangan dan peradaban di Laut Malayu dari zaman awal moden sehingga abad ke-20, jelas terlihat sejarah yang serupa berulang kini.
Beliau yang menyampaikan Syarahan Perdana Profesor bertajuk "Perdagangan dan Peradaban di Laut Malayu" di sini hari ini, menambah : "Sesiapa yang berjaya menguasai Laut Malayu maka merekalah yang berjaya memperoleh kekayaan yang merentasinya.
"Sejak tahun 1819, Singapura berkembang maju dan kemudiannya dapat menyaingi Melaka dan Pulau Pinang.
"Seterusnya pada abad ke-20 Singapura berjaya mencipta sejarah sebagai pusat pelabuhan utama di Timur seperti dicapai oleh Srivijaya pada abad ke-7 hingga ke-11, Melaka pada abad ke-13 hingga ke-16 dan Johor-Riau pada abad ke-17 hingga ke-18."
Namun, beliau menimbulkan persoalan "adakah kitaran sejarah akan berulang semula dengan kemunculan Iskandar Johor dan Pelabuhan Tanjung Pelepas di selatan Laut Malayu yang sedang membangun untuk muncul sebagai pemangkin kegiatan ekonomi juga pusat pelabuhan utama dunia di Timur pada abad-21? Hanya masa akan menentukan."
Dalam syarahan di Bilik Senat dipenuhi kira-kira 200 hadirin, Prof Nordin yang menerima PhDnya dari Universiti Amsterdam, Belanda telah mengungkap sejarah perkembangan di sekitar Laut Malayu yang merentas antara Sumatera dengan Semenanjung Tanah Melayu.
Ia adalah tanah leluhur Melayu dan sejak zaman awal milenium lagi orang Melayu dapat membina peradaban yang berteraskan kepada kelautan dan perdagangan.
Pelayar Melayu juga telah dapat menembusi seluruh pelosok sembilan lautan di Dunia Melayu dari awalnya di Kedah dan kemudian diteruskan oleh kerajaan Srivijaya, Melaka dan Johor.
"Namun setelah penguasaan Eropah bermula dari abad ke-16 dan kemudian membawa kepada kehancuran pelabuhan Johor-Riau pada 1784, Laut Malayu telah menjadi saksi kepada ketahanan Melayu yang diasaskan daripada kegiatan perdagangan dan kelautan yang menerima asakan kuasa luar."
"Ini membawa kepada terhakisnya nilai murni jatidiri masyarakat Melayu yang berteraskan kepada peradaban maritim,” katanya.
Beliau berkata bahawa pada abad ke-16 hingga abad ke-18, kedudukan pedagang jarak sederhana dan dekat di rantau ini dikuasai oleh orang Melayu dan Bugis tanpa diganggu oleh pedagang Eropah.
Bagaimanapun, menjelang abad ke-19 perubahan besar berlaku apabila Belanda dan British mula menguasai sepenuhnya perdagangan di pelabuhan utama di Laut Malayu dan Asia Tenggara.
Kemunculan pelabuhan di Pulau Pinang dan Singapura akhirnya membawa kepada kemalapan nasib Melaka apatah lagi dengan Syarikat Hindia Timur Inggeris dan pedagang swasta menguasai perdagangan yang menguntungkan dengan pasaran China.
Menjelang abad ke-19 perubahan politik dan ekonomi di Laut Malayu amat drastik dan mencabar ketuanan pedagang Melayu.
Pada masa sama dunia perdagangan Melayu menghadapi kelemahan hingga menempuh ke penghujungnya dengan perpecahan Empayar Melayu Johor yang selama itu telah menjadi pemangkin kepada peradaban dunia Melayu. Ini adalah suatu tamparan yang amat hebat terhadap warisan sejarah kekuatan ekonomi Melayu.
Pada syarahan itu, Prof Nordin turut mengungkapkan sebuah syair, iaitu Syair Dagang Berjual Beli karangan Tuan Simi yang menggambarkan nasib pedagang Melayu dan Bugis di Pelabuhan Singapura pada abad ke-19 yang ditindas oleh golongan pendatang dan pentadbiran Inggeris.
Antara lain syair itu berbunyi:
Akan halnya kita Bugis dan Melayu,
Harapkan orang putih juga selalu,
Hukum bicaranya kelihatan terlalu,
Mulut disuap pantat disumbu,
Khabarnya orang putih adil bicara,
Menghukum memeriksa tidak berbidera,
Baharulah ini kita ketara,
Rupanya sekalian hukum pura-pura.
*Istilah Malayu digunakan oleh pedagang dan penulis Arab dan Barat.
Sumber: Portal Berita UKM
Hakikatnya berapa banyak org Melayu mampu membeli rumah di kawasan Iskandar berbanding org Singapura yg membeli rumah semata mata utk dijadikan tempat bersinggah pada hujung minggu?
ReplyDeleteProperty bubble di Iskandar hanya menolong golongan yg sudah kaya.
Orang Melayu masih ramai yg duduk di setinggan2..
kita yg bakal mengubahnya...
ReplyDeleteinsyaallah!!!