Social Icons

Saturday, July 7, 2012

Kulaijaya dan Sedenak Jadi Hab Perkhidmatan Pengeluaran Elektronik (EMS)

JOHOR BAHRU: Kawasan seluas 404.69 hektar di Kulaijaya dan 283.28 hektar di Sedenak dikenal pasti untuk dibangunkan sebagai hab perkhidmatan pengeluaran elektronik (EMS) di negeri ini. 


Menteri Besar Johor, Dato' Abdul Ghani Othman berkata hab itu akan bertindak sebagai nilai tambah kepada sektor perkilangan sedia ada memandangkan pada masa ini aktiviti utama kilang-kilang berkenaan bertumpu pada bidang pemasangan.

"Dengan adanya hab ini, ia dapat menjalankan aktiviti seperti penyelidikan dan pembangunan (R&D), reka bentuk, pemasaran, pengeluar kelengkapan asal (OEM) dan pengeluar reka bentuk asli (ODM)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Industri (JBI) antara Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dengan Kerajaan Negeri Johor di Hotel Thistle, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri MITI, Dato' Mukhriz Tun Dr Mahathir.

Katanya, secara tidak langsung hab berkenaan dapat menambahkan lagi pelaburan dalam sektor perkilangan sedia ada.

Jelasnya, untuk rekod, bermula 2006 hingga April 2012 sektor perkilangan di Johor telah berjaya untuk meraih pelaburan sebanyak RM41.9 bilion, iaitu negeri kedua tertinggi dalam bidang itu selepas Lembah Klang.

Mesyuarat berkenaan turut membentangkan tiga kertas kerja, iaitu Johor sebagai Pusat Industri Elektronik Terkemuka EMS oleh Pusat Pelaburan Negeri Johor (JSIC), Permintaan dan Penawaran Modal Insan dan Langkah Menangani Kekurangan Modal Insan oleh Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) dan Menambahbaik Pengurusan dan Infrastruktur Asas oleh Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM). 

Sumber: Portal MEDKOM

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...