Istiadat itu disempurnakan dengan siraman air mawar dan taburan bunga rampai selepas bacaan doa dan talkin oleh Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Seri Mohd Nooh Gadot.
Terdahulu, Tunku Bendahara Tunku Abdul Majid dan cucunda-cucunda Almarhum, termasuk Raja Muda Tunku Ismail Ibrahim bersama-sama menimbus tanah dalam liang lahad makam baginda.
Istiadat itu disaksikan Sultan Johor, Tunku Ibrahim Ismail, Sultanah Zarith Sofiah, Sultanah Zanariah serta anakanda dan cucunda selain anggota kerabat diraja Johor yang lain.
Turut berangkat Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah, Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu''adzam Shah, Sultan Perak Sultan Azlah Shah, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tunku Muhriz, dan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah.
Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Khalil Yaakob, Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng, Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Ahmadshah Abdullah dan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang turut menghadiri upacara pemakaman itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Osman serta beberapa menteri Kabinet termasuk Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hassan dan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, turut hadir.
Sebelum itu, semasa upacara perangkatan jenazah, sebuah pedati khas digunakan untuk membawa jenazah Almarhum Sultan Iskandar yang turut dinaiki Tunku Abdul Majid dan Tunku Ismail Ibrahim, dengan diiringi anggota kerabat diraja Johor dan anggota pasukan Timbalan Setia Negeri Johor dari Istana Besar ke makam diraja.
Upacara perangkatan itu sejauh 3 kilometer dari Istana Besar diiringi dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran.
Selain itu, sebanyak 77 das tembakan mariam disempurnakan oleh 41 Bateri Istiadat Kem Sungai Buloh, sebagai menandakan usia Almarhum semasa kemangkatannya.
Ribuan rakyat jelata turut beratur di sepanjang jalan dari Istana Besar ke Makam Diraja Bukit Mahmoodiah bagi memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Almarhum.
Sultan Iskandar mangkat di Hospital Pakar Puteri di sini pada 7.15 malam tadi selepas dimasukkan ke hospital berkenaan kerana gering. - Bernama
0 comments:
Post a Comment