Social Icons

Saturday, December 22, 2012

PERMAJ Tempat Kedua Anugerah Kaunter Pameran Terbaik M3P 2012


Bangi, 21 Dis - Persatuan Mahasiswa Anak Johor (PERMAJ) berjaya mengekalkan kejayaan pada sesi lepas apabila merangkul tempat kedua bagi Anugerah Kaunter Pameran Terbaik sempena Minggu Pengenalan Persatuan Pelajar (M3P) sesi 2012-2013 yang telah diadakan pada 8 hingga 12 Oktober lalu di Bangunan Pusanika, UKM Bangi. . 

Tempat pertama kekal menjadi milik Persatuan Mahasiswa Sarawak (PEMASRA), manakala tempat ketiga pula dirangkul oleh Persatuan Kebajikan Anak Pahang (PKAP).

Majlis Penyampaian Sijil dan Anugerah disampaikan oleh Penolong Pendaftar Jabatan Perkhidmatan Pelajar (JPPel) UKM, Encik Mohd Zaili Mohd Nor di Pejabat Timbalan Pendaftar JPPel, Bangunan Pentadbiran Pusanika. 

Menurut beliau, anugerah ini dinilai berdasarkan pemarkahan di kaunter pameran semua persatuan yang terlibat iaitu melihat kepada kreativiti hiasan kaunter dan juga susun atur segala info yang disediakan untuk tatapan umum. Menurut beliau lagi, mungkin akan dilakukan sedikit perubahan oleh JPPel untuk penganjuran pada sesi akan datang.

M3P adalah program tahunan yang dianjurkan oleh JPPel UKM bertujuan untuk memberi peluang kepada para pelajar yang baru sahaja mendaftar masuk ke UKM agar lebih mengenali setiap persatuan, kelab atau sekretariat yang terdapat di kampus ini. Sepanjang program yang berlangsung selama seminggu itu, turut diadakan Sesi Pendaftaran Ahli Baru, Pameran Persatuan dan Persembahan Multimedia serta Kebudayaan.

Ia juga adalah peluang untuk para pelajar mengetahui segala perkembangan terkini mana-mana persatuan, kelab atau sekretariat yang mereka sertai. Program ini juga adalah untuk menggalakkan para pelajar terlibat secara aktif dalam aktiviti ko-kurikulum yang dianjurkan oleh persatuan pelajar, disamping mengeratkan hubungan kemahasiswaan di peringkat UKM, kebangsaan mahupun antarabangsa. - PERMAJ

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...