Social Icons

Showing posts with label puasa. Show all posts
Showing posts with label puasa. Show all posts

Wednesday, July 18, 2012

Ramadhan Kembali - Sucikan Diri

Selamat menyambut kedatangan Ramadhan, bulan penuh keberkatan. 


Selamat menjalani ibadah puasa dan menunaikan zakat. 
Semoga segala ibadah dan amalan kita diterima Allah swt. 
Amin. 

" Ramadhan awalnya rahmat, pertengahannya keampunan, dan akhirnya adalah pembebasan dari api nereka " 


Tulus Ikhlas dari : 
Persatuan Mahasiswa Anak Johor(PERMAJ) 
Universiti Kebangsaan Malaysia

Monday, December 5, 2011

Jom Puasa Sunat 9 dan 10 Muharram


Kisah disebalik Puasa 9 dan 10 Muharram :

Ibn Abbas meriwayatkan yang bermaksud: “Apabila Nabi SAW datang ke Madinah, Baginda melihat orang-orang Yahudi berpuasa pada hari ‘Asyura, lalu Baginda bertanya: "Apakah ini?". Mereka menjawab: “Hari ini adalah hari yang baik di mana Allah telah menyelamatkan padanya Nabi Musa dan Bani Israil daripada musuh mereka, maka Musa pun berpuasa”. Lalu Baginda SAW bersabda: "Aku lebih berhak dengan Musa daripada kamu," maka Baginda pun berpuasa dan menyuruh orang ramai supaya berpuasa”. (Riwayat al-Bukhari)

Daripada Ibn Abbas r.a berkata (maksudnya): “Ketika Rasulullah SAW berpuasa pada hari ‘Asyura, Baginda turut mengarahkan orang ramai supaya turut berpuasa. Lalu mereka berkata: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya hari ini adalah hari yang dibesarkan oleh kaum Yahudi dan Nasrani. Lalu Rasulullah SAW bersabda lagi: "Sekiranya di tahun depan, jika diizinkan Allah, kita akan berpuasa pada hari ke-9". Ibn Abbas berkata: Tidak sempat munculnya tahun hadapan, Rasulullah SAW wafat terlebih dahulu.” (Riwayat Imam Muslim)

Kisah disebalik 10 Muharram :

Banyak peristiwa bersejarah yang berlaku pada 10 Muharam ini, di mana pada hari inilah, Allah telah memuliakan Nabi-Nabi dengan sepuluh kehormatan.

1. Setelah beratus-ratus tahun meminta ampun dan taubat pada Allah, maka pada hari yang bersejarah 10 Muharam inilah, Allah telah menerima taubat Nabi Adam. Ini adalah satu penghormatan kepada Nabi Adam a.s.

2. Pada 10 Muharam juga, Nabi Idris a.s telah di bawa ke langit, sebagai tanda Allah menaikkan darjat baginda.

3. Pada 10 Muharam, tarikh berlabuhnya perahu Nabi Nuh a.s kerana banjir yang melanda seluruh alam di mana hanya ada 40 keluarga termasuk manusia binatang sahaja yang terselamat dari banjir tersebut. Kita merupakan cucu-cicit antara 40 keluarga tadi. Ini merupakan penghormatan kepada Nabi Nuh a.s kerana 40 keluarga ini sahaja yang terselamat dan dipilih oleh Allah. Selain dari itu, mereka adalah orang-orang yang engkar pada Nabi Nuh a.s.

4. Nabi Ibrahim dilahirkan pada 10 Muharam dan diangkat sebagai Khalilullah (kekasih Allah) dan juga hari di mana baginda diselamatkan dari api yang dinyalakan oleh Namrud. Nabi Ibrahim diberi penghormatan dengan Allah memerintahkan kepada api supaya menjadi sejuk dan tidak membakar Nabi Ibrahim. Maka terselamatlah Nabi Ibrahim dari angkara kekejaman Namrud.

5. Pada 10 Muharam ini juga Allah menerima taubat Nabi Daud kerana Nabi Daud merampas isteri orang walaupun bagainda sendiri sudah ada 99 orang isteri, masih lagi ingin isteri orang. Oleh kerana Nabi Daud telah membuatkan si suami rasa kecil hati, maka Allah turunkan dua malaikat menyamar sebagai manusia untuk menegur dan menyindir atas perbuatan Nabi Daud itu. Dengan itu sedarlah Nabi Daud atas perbuatannya dan memohon ampun pada Allah. Sebagai penghormatan kepada Nabi Daud a.s maka Allah mengampunkan baginda pada 10 Muharam.

6. Pada 10 Muharam ini juga, Allah mengangkat Nabi Isa ke langit, di mana Allah telah menukarkan Nabi Isa dengan Yahuza. Ini merupakan satu penghormatan kepada Nabi Isa daripada kekejaman kaum Bani Israil.

7. Allah juga telah menyelamatkan Nabi Musa pada 10 Muharam daripada kekejaman Firaun dengan mengurniakan mukjizat iaitu tongkat yang dapat menjadi ular besar yang memakan semua ular-ular ahli sihir dan menjadikan laut terbelah untuk dilalui oleh tentera Nabi Musa dan terkambus semula apabila dilalui oleh Firaun dan tenteranya. Maka tenggelamlah mereka di Laut Merah. Mukjizat yang dikurniakan Allah kepada Nabi Musa ini merupakan satu penghormatan kepada Nabi Musa a.s.

8. Allah juga telah menenggelamkan Firaun, Haman dan Qarun serta kesemua harta-harta Qarun dalam bumi kerana kezaliman mereka. 10 Muharam, merupakan berakhirnya kekejaman Firaun buat masa itu.

9. Allah juga telah mengeluarkan Nabi Yunus dari perut ikan setelah berada selama 40 hari di dalamnya. Allah telah memberikan hukuman secara tidak langsung kepada Nabi Yunus dengan cara ikan Nun menelannya. Dan pada 10 Muharam ini, Allah mengurniakan penghormatan kepada baginda dengan mengampun dan mengeluarkannya dari perut ikan Nun.

10. Allah juga telah mengembalikan kerajaan Nabi Sulaiman a.s pada 10 Muharam sebagai penghormatan kepada baginda.

Daripada Abdullah bin Ma’bad az-Zamani daripada Abu Qatadah bahawa nabi s.A.W telah bersabda yang bermaksud : Berpuasa pada hari ‘Asyura (kesepuluh Muharram) sesungguhnya aku mengharapkan atas Allah SWT bahawa Dia akan menghapuskan dosa setahun yang sebelumnya. (Riwayat Imam Tarmizi)

Wednesday, August 25, 2010

Majlis Buka Puasa Di UUM

Pada 21hb Ogos 2010 (sabtu) yang lalu, PERMAJ telah menghadiri Majlis Buka Puasa Siri 2 dan Tahlil Patriotik Negara. Majlis dianjurkan oleh Adhoc Anak Johor Universiti Utara Malaysia. Majlis bertempat di Dewan Tradewind, Universiti Utara Malaysia. Majlis Bermula pada jam 5 petang dan berakhir pada jam 10 malam. Majlis dihadiri oleh TNC UUM dan turut hadir Tuan Haji Jamal bin Ali, Penasihat PERMAJ, UKM. Turut menyerikan majlis dengan kehadiran IKMAR Universiti Sains Malaysia(USM).






Sunday, August 15, 2010

Ramadhan Yang Mulia

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi maha Mengasihani.


Selamat Menyambut Ramadhan al-Mubarak. Mohon keampunan di atas salah dan silap serta ketelanjuran dalam berbicara dan perbuatan. Moga kedatangan Ramadhan kita dapat mempertingkatkan amal ibadah dan mengubah kehidupan ini dengan lebih sejahtera dan penuh ketaatan kepada Allah SWT.

Manusia itu tidak sama di antara satu dengan yang lain dalam melaksanakan ketaatan kepada Allah SWT, maka terdapat
3 martabat puasa :

1) Puasa Orang Awam (orang ramai)

Mereka hanya berpuasa sekadar menahan lapar dan dahaga sahaja. Mereka tidak menjaga anggota yang tujuh iaitu : mulut, mata, telinga, hidung, tangan, kaki, dan alat sulit. Walaupun puasa mereka itu sah, tetapi mereka tidak memperolehi pahala.

2) Puasa Khusus

Mereka bukan sekadar berpuasa menahan diri dari makan dan minum, bahkan seluruh pancainderanya ikut berpuaa. Inilah cara puasa orang-orang yang soleh.

3) Puasa Khususul Khusus

Selain menahan diri dari makan dan minum, mereka berpuasa dengan mengekang segala tuntutan hawa nafsu. Pancaindera berpuasa dan seluruh hati dan jiwanya ikut berpuasa dan sentiasa mengingati Allah SWT. Inilah cara puasa para nabi dan wali Allah SWT. Peringkat puasa seperti ini adalah paling tinggi nilainya disisi Allah SWT.

Moga Ramadhan yang akan tiba ini memberi kita kesedaran dan kekuatan untuk berlumba dan berlari dalam mencari kebaikan, rahmat, keampunan dari Allah SWT.

Sabda nabi SAW :

" Ramadhan awalnya rahmat, pertengahannya keampunan, dan akhirnya adalah pembebasan dari api nereka"

Ramadhan yang dilalui itu menawarkan kita pingat dan pangkat Taqwa yang sangat berharga disisi Allah SWT. Ianya akan diberikan kepada mereka yang menjalani kehidupan dan madrasah ramadhan dengan cemerlang dan penuh keikhlasan.

Selamat menjalani ibadah puasa .. Tulus ikhlas daripada PERMAJ

Tuesday, September 15, 2009

MaJLis BeRBuKa PuaSa AnAk JoHoR IPTA BeRSaMa MeNTeRi KPT

Salam PERMAJ, Alhamdullilah kami panjatkan ke hadrat ilahi kerana akhirnya Majlis Berbuka Puasa Anak Johor IPTA Bersama Menteri Pengajian Tinggi berjaya dilaksanakan dengan gemilangnya pada 12 September 2009 di Dewan Canselor Tun Abdul Razak UKM. Kami di barisan urusetia ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Y.B Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin kerana sudi hadir memeriahkan majis kami pada malam tersebut. Ucapan terima kasih juga kepada penasihat kehormat kami Y.Bhg Prof. Dato' Dr. Mohamad Abdul Razak (TNC HEPA) kerana bertungkus lumus membantu kami dalam melaksanakan majlis tersebut daripada mula perancangan hingga ia menjadi realiti.

Untuk rekod, Majlis tersebut merupakan majlis berbuka puasa yang terbesar dan terhebat dalam sejarah PERMAJ yang pernah dianjurkan oleh PERMAJ UKM. Selain itu majlis ini mencatat sejarah kerana ia merupakan majlis berbuka puasa pertama yang diadakan di Dectar UKM dan ia merupakan sesuatu pengalaman berharga yang diraih kami warga PERMAJ. Dengan hadirin seramai 600 orang majlis tersebut diserikan lagi dengan kehadiran IPTA-IPTA yang lain seperti UM, UPM, USM,UUM,USIM,UIAM dan UITM. Kami mewakilli pihak UKM mengucapkan ribuan terima kasih kepada setiap IPTA tersebut kerana sudi hadir ke Majlis kami ini.

Dikesempatan ini kami juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam majlis ini. terima kasih kepada Pejabat Perhubungan Awam & Korporat, Pusat Penerbitan & Percetakan, Jabatan Pengurusan Pembangunan, Pusat Perkembangan Pelajar, Pusat Islam dan Pusat Kebudayaan atas kerjasama yang diberikan. Selain itu terima kasih juga kepada alumni-alumni yang sudi hadir memeriahkan majlis & kepada senior-senior yang membantu kami tanpa berbelah bagi Akhir kata semoga majlis berbuka puasa tahun hadapan akan mencatakan kejayaan yang sama disamping tidak lari daripada matlamat asal iaitu merapatkan ukhwah persaudaraan sesama umat Islam

(p/s : gambar akan dimasukkan kemudian)

Wednesday, September 9, 2009

JuMPa Di SaNa!!!!


Salam PERMAJ, kepada semua ahli PERMAJ yang telah mendaftarkan diri, sila hadir ke bilik PERMAJ untuk mengambil kupon ada selewat-lewatnya jumaat ini. Kepada ahli yang masih belum membayar yuran untuk ke majlis ini, bayaran juga boleh di buat di bilik PERMAJ selewat-lewatnya esok. Kerjasama anda amat kami hargai. Jumpa anda di sana!!!!

"Cemerlang Bersama Johor"

Thursday, August 27, 2009

MaJLiS BeRBuKa PuAsA AnAK JoHoR IPTA Se-MaLaYSiA

Salam PERMAJ, Alhamdulillah hari ini telah masuk hari kelima kita umat Islam menunaikan Ibadah Puasa dalam bulan Ramadhan yang mulia ini. Semoga kita memperolehi barakah dan pahala yang berlipat kali ganda dalam setiap perbuatan & tutur kata yang kita lakukan. PERMAJ secara tradisinya akan melaksanakan Program Majlis Berbuka Puasa untuk ahli-ahli PERMAJ, namun kali ini kami akan melakukan sedikit perubahan dalam Majlis Berbuka Puasa Bersama PERMAJ.

Kali ini PERMAJ akan menjalankan Majlis Berbuka Puasa Anak Johor IPTA Se-Malaysia yang akan diadakan pada 12 September 2009 di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR UKM). Majlis ini akan dirasmikan oleh Menteri Pengajian Tinggi iaitu Yang Berhormat Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin. Majlis ini akan diserikan lagi dengan kehadiran wakil-wakil daripada Universiti-Universiti yang mempunyai anak Johor seperti UM, UPM, UITM, USM, UUM, dan USIM. Selain itu, kami juga menjemput Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Islam Segamat (PKAYIS) sebagai tetamu istimewa kami. Sasaran untuk majlis ini adalah seramai 600 orang.

Kepada semua ahli-ahli PERMAJ serta Mahasiswa/i UKM yang ingin menyertai Majlis Berbuka Puasa ini, boleh mendaftarkan diri anda di bilik PERMAJ atau menghubungi AJK Sambutan dan Pendaftaran di poster yang akan kami hebahkan dalam jangka masa terdekat ini. Bayaran yang dikenakan hanya RM 5 seorang bagi ahli PERMAJ dan RM 8 bagi bukan ahli PERMAJ. Diharap kepada semua ahli-ahli PERMAJ dan Mahasiswa/i UKM dapat memberikan sokongan untuk program ini dan hadir memeriahkan Majlis Berbuka Puasa Anak Johor IPTA Se-Malaysia yang julung-julung kali diadakan.

"Usrah An-Najah Wadah Muhibah"

Monday, August 24, 2009

SaLaM RaMaDHaN DaRiPaDa PERMAJ


Kami warga Majlis Tertiggi & Exco-Exco PERMAJ UKM ingin mengucapkan Salam Ramadhan Al-Mubarak kepada semua Alumni-alumni, Senior-senor dan ahli-ahli PERMAJ yang beragama Islam. Semoga Ramadhan kali ini akan membawa seribu hikmah kepada kita semua. Selamat berpuasa kepada semua dan selamat menunaikan ibadat dalam bulan ramadhan yang mulia ini. Semoga kita semua memperoleh manfaat dan pahala yang berlipat ganda dalam bulan yang mulia ini.

Tuesday, September 2, 2008

Salam Ramadhan

Assalamualaikum buat semua warga Universiti Kebangsaan Malaysia dan warga Persatuan Mahasiswa Anak Johor (PERMAJ), Selamat menyambut kedatangan bulan yang mulia, Ramadhan. Jika sebelum ini kita sibuk melakukan kerja-kerja dan amalan duniawi maka kedatangan bulan Ramadhan ini merupakan peluang untuk kita melipatgandakan usaha melakukan amal kebajikan dan amalan-amalan yang diredhai dan diberkati. InsyaAllah.


p/s: jika ada pengalaman suka dan duka di bulan Ramadhan yang boleh anda kongsikan bersama, boleh berkongsi melalui laman komen ini, selamat berpuasa :)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...