Social Icons

Saturday, November 28, 2009

Tan Sri Hj. Hassan Yunus

1959 - 1967 : Tan Sri Hj. Hassan Yunus

Tan Sri Hj. Hassan Yunus dilahirkan pada tahun 1907 di Muar, Johor. Setelah menamatkan pendidikan awal. Kerajaan Negeri Johor telah menghantar beliau melanjutkan pelajaran di Universiti Al-Azhar, Mekah dalam bidang Syariah.

Sekembalinya dari menuntut, beliau berkhidmat dengan Perkhidmatan Awam Johor sebagai Penolong Mufti (1.1.40). pada 1 Januari 1943 beliau menjawat jawatan Penolong Kadi dan memanggku jawatan Mufti Negeri hinggalah sebelum merdeka. Dengan kedudukan yang dipegang, beliau telah dilantik menjadi Ahli Majlis Agama Negeri Johor dan juga Ahli Majlis Mesyuarat Undangan Negeri Johor.

Tan Sri Hj. Hassan juga seorang yang aktif dalam kegiatan politik dan menyertai Persatuan Melayu Johor. Beliau adalah salah seorang “Orang Tujuh” menandatangani surat bantahan kepada Sultan yang menandatangani Perjanjian Malayan Union.

Apabila Dato’ Onn meninggalkan UMNO, Persatuan Melayu Johor mengambil alih. Dalam Pilihanraya Umum Pertama, beliau dilantik sebagai Menteri Besar pada 27 Jun dan beliau adalah Menteri Besar yang pertama di lantik menerusi proses pilihanraya. Tan Sri Dato’ Hj. Hassan Yunus meninggal dunia pada 12 Julai 1968.

Friday, November 20, 2009

Biografi Mantan Menteri Besar Johor Siri II

1982 - 1986 Datuk Abdul Ajid Bin Ahmad



Datuk Abdul Ajib bin Ahmad dilahirkan pada 13 september 1947 di Segamat, Johor. Memulakan persekolahan di Sekolah Bukit Hampar dan bekas penuntut Kolej Kuala Kangsar. Dato’ Ajib melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya dan mendapat Ijazah B.A. Hons dalam bidang Ekonomi (1971).

Beliau pernah berkhidmat di Kementerian Dalam Negeri dan Sektor Awam sebagai Pegawai Perhubungan Industri di sebuah Syarikat Minyak. Dalam arena politik beliau pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada Y.B. Dato’ Musa Hitam (1975-1982). Dalam tahun 1982, beliau kemudian dilantik menjadi Menteri Besar menggantikan Tan Sri Othman Bin Mohd Saat. Dalam Pilihanraya Umum 1986, beliau memenangi Kerusi Parlimen Mersing. Beliau telah dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

1967 - 1982 Tan Sri Othman Bin Mohd Saat

Tan Sri Othman Bin Mohd Saat dilahirkan pada tahun 1927 di Muar, Johor. Mendapat pendidikan di Sekolah Melayu, Inggeris dan juga Arab. Beliau pernah menjadi Guru Agama pada tahun 1942. sebelum aktif dalam bidang politik, beliau adalah seorang yang berjaya dalam bidang perniagaan. Beliau berpolitik sejak UMNO ditubuhkan pada tahun 1946.

Dalam pilihanraya 1964, beliau telah menang dalam pilihanraya. Beliau menjadi Ketua Pemuda UMNO dalam tahun 1965 dan masih dapat mengekalkan kerusinya dalam tahun 1969. Beliau juga pernah menjadi Perngerusi Grand Prix Johor dan juga Pengerusi Pertubuhan Pengakap Johor dan dianugerahkan Pingat Semangat Rimba pada tahun 1970. Beliau juga diberi status “Doyen” Menteri-Menteri besar dan Ketua-Ketua Menteri Malaysia.

Sumber : Pejabat Menteri Besar Johor

Thursday, November 19, 2009

Biografi Mantan-Mantan Menteri Besar Johor

1986 - 1995 Tan Sri Hj. Muhyiddin Bin Hj. Yassin

Tan Sri Hj. Muhyiddin Bin Hj. Yassin dilahirkan pada 15.5.1947 di Muar, Johor. Ayahnya seorang Guru Agama dan berpengaruh di Muar. Beliau mendapat pendidikan Rendah di Sekolah Kebangsaan Bandar Maharani, Muar dan juga Sekolah Ismail, Muar. Kemudian Sekolah Tinggi Muar dan Universiti Malaya pada tahun 1968-1970 dalam bidang Ekonomi dan Pengajian Melayu.

Antara jawatan yang pernah dipegang oleh beliau ialah Pengurus Penjawatan SGS Ates (M) Sdn. Bhd. (1974), Pengarah Urusan Sri Saujana BHd. (1974-1978), Pengurus Besar Sykt Equity Mal(Johor) Sdn. Bhd. (1974-1978), Pengarah Urusan Sergam Bhd. (1975-1977), Setiausaha Parlimen di Kementerian Luar Negeri (Mulai Julai 1981), Timbalan Menteri di Kementerian Perdagangan dan Perindustrian (Mulai Jun 1983). Beliau menjadi Menteri Besar Johor pada 13 Ogos 1986-1995. Beliau kemudian dilantik menjadi Menteri Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna(1995), Beliau juga pernah menjawat sebagai Menteri Pertanian & Asas Tani. Kini Beliau merupakan Timbalan Perdana Menteri Malaysia

Antara jawatan yang pernah disandang oleh beliau di dalam parti ialah Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bhgn. Pagoh (1974-1976), Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor (1974-1976), Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bhgn. Pagoh (1976), Timbalan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor (1982-1986), Exco Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor (1982-1986), Ketua UMNo Bhgn. Pagoh (Mulai 26.4.85 hingga sekarang), Naib Presiden UMNO Negeri Johor (1982-1986), Ketua UMNO Bhgn. Pagoh (Mulai 26.4.85 hingga sekarang), Naib Presiden UMNO (Mulai 4.9.93 hingga 2008) dan kini merupakan Timbalan Presiden UMNO.

Sumber : Pejabat Menteri Besar Johor

Teluk Danga

Teluk Danga adalah sebuah bandar bertaraf antarabangsa di dalam bandaraya Johor Bahru. Ia dirancang pembinaannya dengan latar belakang Istana Duli Yang Amat Mulia Sultan Johor. Teluk Danga menggambarkan tentang keindahan dua dimensi keunikan Istana dan aspektasi kontemporari bagi potensi terhadap pembangunan akan datang.

Ia dibina sebagai sebuah taman luas di persisiran selat yang jernih. Rekabentuknya berkonsepkan kemodenan dan inovasi berciri keseimbangan tradisi ketimuran dan pragmatis kebaratan. Teluk Danga terletak di atas air yang mempamerkan gabungan dua dunia pembangunan, negeri Johor gerbang selatan antarabangsa dan bandar kosmopolitan Singapura.

Dengan keluasan 1,380 ekar di sepanjang 25 kilometer persisiran pantai, Teluk Danga adalah salah satu visi pembangunan bandar selatan sebagai pembangunan menyeluruh bandar terapung masa depan. Ia berinspirasikan elemen pembangunan seperti Darling Harbour (di Sydney), Gold Coast (di Queensland), Toronto Waterfront dan Melbourne Ports. Teluk Danga kini menjadi pusat rekreasi pelbagai dengan fungsinya sebagai pusat medan selera, sukan ekstrim, pusat agrikultur, taman formal, taman permainan, pesta-pesta antarabangsa dan aktiviti kebudayaan.

Saturday, November 14, 2009

Fakta Menarik Tentang Negeri Johor Darul Takzim

Askar Timbalan Setia

Johor adalah negeri yang pertama memiliki pasukan tenteranya sendiri dan satu-satunya pasukan tentera yang dibiayai oleh kerajaan negeri yang masih kekal hingga kini yang dinamakan Askar Timbalan Setia Negeri Johor. Askar Timbalan Setia adalah satu pasukan tentera yang ditubuhkan semasa pemerintahan Sultan Sir Ibrahim Iskandar Al-Masyhur ibni Almarhum Sultan Sir Abu Bakar , Sultan Johor Darul Takzim.

Antara mereka yang telah berkhidmat dalam pasukan Askar Timbalan Setia Negeri Johor adalah:

  • DYMM Sultan Iskandar Alhaj Ibni Al-Marhum Sultan Ismail, Sultan Johor
    Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail menerima latihan ketenteraan dalam pasukan Askar Timbalan Setia Negeri Johor. Baginda juga merupakan penyandang jawatan Panglima Askar Timbalan Setia Negeri Johor.
  • Tun Hussein Onn, Perdana Menteri Malaysia Ke-3
    Tun Hussein Onn juga pernah menyertai Askar Timbalan Setia Negeri Johor. Selepas tamat sekolah pada tahun 1940, beliau berkhidmat sebagai kadet dalam Pasukan Timbalan Setia Negeri Johor sebelum dihantar pada awal tahun 1941 ke Akademi Tentera di Dehra Dun , India dan menerima tauliah pada tahun 1942. Selepas itu beliau menyertai Regiment Hydrabad Ke 19 di India.
  • Jeneral(B) Ibrahim bin Ismail - bekas Panglima ATM
    Jeneral (B) Ibrahim Bin Ismail pernah menyertai dan berkhidmat sebagai kadet dalam Askar Timbalan Setia Negeri Johor sebelum dihantar pada awal tahun 1941 ke Akademi Tentera di Dehra Dun, India dan menerima tauliah pada tahun 1942. Selepas itu beliau menyertai Regiment Hydrabad Ke-19 di India.
  • Ungku Ahmad bin Abd Rahman
    Salah seorang daripada 3 orang yang dihantar pada awal tahun 1941 ke Akademi Tentera di Dehra Dun, India
  • Dato Onn Jaafar
  • Ungku Abdul Hamid bin Ungku Abdul Majid
    Ungku Abdul Hamid bin Ungku Abdul Majid, bapa kepada YM. Professor Diraja Tun Dr. Ungku Abdul Aziz bin Ungku Abdul Hamid pernah menjadi seorang Leftenan dalam pasukan tentera Timbalan Setia Negeri Johor dan mencapai pangkat Mejar dalam tahun 1926.

Asal Usul Jalur Gemilang

Rekabentuk Jalur Gemilang/Bendera Malaysia sekarang adalah hasil ilham dari salah seorang rakyat dan arkitek kerajaan Negeri Johor iaitu Encik Mohamad bin Hamzah.

Pemilihan rekabentuk bendera tersebut bermula dari satu pertandingan bagi merekabentuk bendera Persekutuan Tanah Melayu yang baru pada tahun 1949. Pertandingan peringkat kebangsaan ini dianjurkan oleh Majlis Perundangan Persekutuan dan disertai oleh 373 karyawan. Daripada sejumlah itu, tiga rekabentuk bendera baru bagi Persekutuan Tanah Melayu telah dipilih untuk ke peringkat akhir.

Rekabentuk pertama ialah lambang keris bersilang di tengah-tengah dengan dikelilingi oleh 11 bintang pecah lima. Rekabentuk kedua hampir serupa dengan rekabentuk pertama tetapi 11 bintang pecah lima itu disusun dalam dua bulatan mengelilingi keris bersilang itu. Rekabentuk ketiga ialah 11 jalur biru dan putih dengan bulan dan bintang berwarna kuning di bahagian tepi kiri.

Majlis Perundangan Persekutuan telah memberi peluang kepada orang ramai untuk memberikan pendapat kepada ketiga-tiga rekabentuk tersebut. Keputusan pendapat umum yang dikelolakan oleh akhbar The Malay Mail itu telah disiarkan pada 29 November 1949. Keputusan akhir menunjukkan majoriti telah memilih rekabentuk ciptaan En. Mohamad bin Hamzah .

Penulis Asal Sejarah Melayu

Penulis asal Sejarah Melayu adalah Tun Sri Lanang yang dilahirkan di Bukit Seluyut, Johor pada tahun 1565. Tun Seri Lanang ialah Bendahara Paduka Raja, Johor antara tahun 1580 dan 1615 , serta penyunting Sejarah Melayu (buku, 1612) yang merupakan moyang kepada Sultan Johor dan Sultan Terengganu .

Salasilah kesultanan Terengganu yang terdapat dalam Sejarah Terengganu (buku) karya Haji Buyong Adil terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka 1974 ada menyatakan bahawa Tun Habib Abdul Majid (Bendahara Seri Maharaja, Johor - Marhum Padang Saujana - Bendahara Johor 1688-1697) yang menjadi Bendahara Johor dari 1688 hingga 1697 adalah bapa kepada Sultan Zainal Abidin I (Sultan Terengganu Pertama) dan kepada Sultan Abdul Jalil IV (Sultan Johor dari 1699 hingga 1719 ). Selanjutnya dipaparkan bahawa Tun Habib Abdul Majid adalah anak kepada Tun Mat Ali (Bendahara Paduka Maharaja, Johor), iaitu anak kepada Tun Seri Lanang (Bendahara Paduka Raja, Johor 1580-1615).

Dalam pengetahuan orang-orang Melayu , nama Tun Seri Lanang lebih dikenali sebagai salah seorang bijak pandai dan pengarang ulung bangsa Melayu yang setaraf dengan Munshi Abdullah (Pengarang Hikayat Abdullah).

Penubuhan UMNO

Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu/United Malay National Organisation ditubuhkan pada tahun 11 Mei 1946 di Istana Besar, Johor Bahru, Johor. di bawah kepimpinan Dato’ Onn Jaafar. Detik bersejarah tersebut bermula dengan satu perhimpunan besar-besaran yang dikenali sebagai Kongres Melayu Se-Malaya pertama telah diatur oleh Persatuan Melayu Selangor di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baharu, Kuala Lumpur pada 1 Mac hingga 4 Mac 1946 dan seramai 41 Pertubuhan-pertubuhan Melayu telah menghantar wakil masing-masing.

Dato Onn bin Jaafar daripada Persatuan Melayu Johor telah dipilih sebagai Pengerusi Kongres. Hampir semua wakil pertubuhan telah berucap termasuk dua orang wakil kanak-kanak.

Tiga usul telah diluluskan oleh Kongres seperti berikut:

  • Menubuhkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu
  • Membantah pertubuhan Malayan Union
  • Mengadakan Derma Pelajaran Kebangsaan Melayu sahaja.

Satu jawatankuasa yang terdiri dari Dato Onn Jaafar, Dato Panglima Bukit Gantang, Dato Nik Ahmad Kamil, Dato Hamzah Abdullah dan Encik Zainal Abidin Ahmad (Zaaba) telah dipilih untuk menyediakan draf piagam atau Perlembagaan UMNO untuk dibentangkan dan diterima oleh Kongres Melayu Se-Malaya kelak.

Walaupun ada bantahan yang hebat daripada kaum Melayu , Kerajaan British tetap meneruskan rancangan mereka dan pada 1 April 1946 menubuhkan Malayan Union. Orang-orang Melayu dan pertubuhan-pertubuhan Melayu terus membangkang dan tidak memberi sebarang sokongan terhadap Malayan Union. Pada 11 Mei 1946, Kongres Melayu Se-Malaya ketiga dan perhimpunan agung pertama Pertubuhan Melayu Kebangsaan Melayu Bersatu atau PEKEMBAR (UMNO) berlangsung di Istana Besar Johor Bahru dan Perlembagaan UMNO telah diterima dan diluluskan oleh para peserta. Maka UMNO pun lahirlah secara rasmi.

Sunday, November 1, 2009

Tarian Tradisional Negeri Johor

Tarian Kuda Kepang


Kuda kepang merupakan satu permainan tradisi yang amat digemari oleh penduduk Johor, terutamanya yang berketurunan Jawa. Kuda kepang berupa satu patung anyaman yang dibentuk seperti seekor kuda tanpa kaki. Ia diperbuat daripada buluh yang dianyam atau kulit binatang yang dicorakwarnakan untuk menjadi lebih menarik.

Lazimnya satu kumpulan kuda kepang mempunyai 10 hingga 15 orang penari. Salah seorang daripada mereka bertindak sebagai ketua (dayang). Pada peringkat awalnya, semua gerak geri penari adalah atas arahan dayang yang menggunakan tali untuk mengawal permainan. Tarian ini biasanya dipertunjukkan di majlis-majlis keramaian untuk memeriahkan lagi suasana seperti sewaktu menyambut orang-orang kenamaan, meraikan majlis perkahwinan dan di hari-hari perayaan. Terdapat berbagai pendapat mengenai asal usul tarian ini.

Ada pendapat yang mengaitkan asal usulnya dengan Wali Songo yang hidup di Tanah Jawa pada abad ke-15. Dalam usaha mengembangkan Islam di kawasan pedalaman di Jawa,Wali Songo menghadapi kesulitan untuk mendekati orang-orang di sana. Beliau mendapat idea untuk menari-nari sambil menunggang kuda. Dalam peralihan waktu, kuda-kuda itu ditukar dengan kulit binatang atau buluh bagi menggantikan kuda sebenar.Ada pula yang berpendapat asal usul tarian ini ada kaitan dengan Saidina Ali. Untuk meniru gerak langkah bala tentera Saidina Ali maka lahirlah tarian kuda kepang.

Pendapat lain pula menghubungkan asal usulnya dengan alam kayangan. Seekor kuda kayangan bernama Kuda Sembrani dikatakan turun di Jawa untuk mencari kawannya yang hilang. Setelah berjumpa mereka menari-nari keseronokan. Menurut kepercayaan, kuda kepang dikuasai oleh sejenis kuasa ghaib. Lantaran itu, satu upacara khas perlu dilakukan sebelum bermain. Jika ia gagal dilakukan mungkin sesuatu yang tidak diingini akan menimpa para pemain dan juga penontonnya. Upacara ini bermula dengan istiadat memuja roh. Setelah itu bomoh akan menjampi untuk istiadat membuka gelanggang yang biasanya berukuran 40m x 60m.

Bomoh juga akan menyediakan sajian untuk penunggu. Sajian itu ialah kelapa, beras, pisang masak, kemenyan, kain putih, jarum, benang, ayam putih, padi, telur dan bunga rampai. Bilangan minima penari ialah sembilan orang dan maksimanya 15 orang. Penari-penari ini biasanya terdiri daripada kaum lelaki sahaja. Tarian dicipta oleh guru yang mengajar kumpulan itu sendiri. Tarian-tarian yang selalu dipersembahkan ialah tarian Sola, Selendang,Pak Tani, Pucuk Rebung, Perjuangan, Mempertahankan Diri dan sebagainya. Lenggang-lenggok di dalam tarian ini dinamakan Lenggang Kiprah.

Satu perkara yang menarik di dalam tarian ini ialah kerana seringnya terdapat beberapa orang penari akan naik syeikh (mabuk) setelah persembahan rasmi tamat. Mereka yang “naik syeikh” ini boleh melakukan gerak geri aneh yang pasti tidak dapat dilakukan dalam keadaan siuman. Umpamanya, melompat setinggi enam atau tujuh kaki, meniti diatas sebatang buluh atau kayu licin ataupun seutas tali, juga mengupas kelapa dengan gigi. Semasa penari-penari sedang “naik syeikh” , bunyi-bunyian pengiring penari akan terus dimainkan. Jikalau tidak mereka naik berang dan menerkam pemain-pemain bunyi-bunyian tersebut.

Apabila gerak langkah penari-penari itu semakin liar dan tidak dapat dikawal, bomoh akan membaca mentera ke ubun-ubun atau telinga mereka setelah mereka ditangkap dan direbahkan oleh pegawal-pegawal yang cekap.Setelah itu mereka akan pulih dalam keadaan letih lesu. Adalah dipercayai bahawa selain dari hiburan, tarian kuda kepang juga boleh digunakan untuk menyembuhkan penyakit ganjil seperti dirasuk hantu,diresapi roh orang mati dan sebagainya.

Dipercayai juga bahawa kuda kepang ini hendaklah diletakkan disuatu tempat khusus.Jika diletakkan di sembarangan tempat roh kuda kepang itu akan mengamuk dan merosakkan pertunjukan-pertunjukan yang akan datang. Alat bunyi-bunyian yang sering mengiringi tarian kuda kepang ialah angklong (alat utama), gendang, gong ( berbentuk bulat dan diperbuat dari gangsa), kinong (seperti gong tetapi lebih kecil), jidor ( seperti rebana besar), soron kecil (dibuat dari tembaga yang dititik supaya melengkung dan lekuk seperti ruas buluh) dan bonang (dibuat dari tembaga,ditengahnya bonjol bulat kira-kira lapan garis pusat). Bagaimanapun tidak semua alat ini digunakan dalam satu-satu tarian. Pemilihannya terletak kepada budi bicara kumpulan-kumpulan berkenaan .Bentuk pakaiannya pula terserah kepada kehendak kumpulan tetapi ia hendaklah seragam.

Tarian Zapin

image

Salah satu bentuk tarian pergaulan masyarakat Melayu yang masih utuh dan popular dewasa ini ialah tari zapin. Dari perspektif sejarah perkembangannya tarian zapin telah menular luas di kalangan penggemar senitari di Malaysia ini telah mengalami pengubahsuaian dari segi bentuk dan ragamnya yang ternyata lebih tradisional sifatnya. Namun demikian banyak antara genre zapin tradisional ini tersebar hanya ke daerah-daerah tertentu sahaja dan salah satu daripada genre zapin tradisional yang dinamik dan anggun dikatakan masih terdapat di negeri Johor.

Di Johor zapin yang dikenali dalam dua bentuk iaitu Zapin Melayu dan Zapin Arab memperlihatkan perbezaaan dari segi unsur peradaptasiannya. Pada realiti kedua-duanya genre zapin itu berasal dari satu keseniaan masyarakat Arab yang di bawa Hadramaut. Keunikan tradisi Zapin Melayu terletak bukan sahaja pada kesatuan muzik dan peralatannya yang dipengaruhi oleh keseniaan Arab bahkan juga pada sifat segretasi penari dan penonton. Dalam konteks inilah keunikan tarian zapin begitu terserlah terutamanya pada ciri penghubungannya dengan keseniaan Islam yang dibawa oleh orang-orang Arab. Di Johor Tarian Zapin yang sudah diterima sebagai seni yang berunsur Islam yang berfungsi sebagai hiburan sama ada pada acara-acara sekular mahupun acara sambutan hari-hari kebesaran. Namun dari segi kelembutan dan kehalusan tradisi tarian itu sendiri, Zapin Melayu Johor walaupun ianya lahir dari adaptasi yang dilakukan ke atas Zapin Arab secara selektif namun tidak dapat disangkal lagi tarian zapin ini memperlihatkan lebih kehalusan dan keayuan geraknya dari Tarian Zapin Arab.

Satu hal yang menarik mengenai tarian Zapin Johor ialah keupayaan mewujudkan rasa persaudaraan penari dan pemuzik serta sifat esprik decorps yang dapat dimunculkan di kalangan mereka sekali gus mematahkan rasa malu penari-penari apabila menari di khalayak ramai. Secara simbolik gerak tari zapin ini menampakkan kepentingan usaha bersama dan bukannya usaha individu disamping meminggirkan persaingan antara pemain-pemain dalam kumpulan mahupun antara kumpulan, Ditinjau dari perspektif inilah, keunikan dan keistimewaan tarian Zapin Johor terserlah.

Tarian Barongan

image

Barongan menggambarkan kisah-kisah di zaman Nabi Allah Sulaiman dengan binatang-binatang yang boleh bercakap. Kononnya, seekor harimau telah terlihat seekor burung merak yang sedang mengembangkan ekornya. Apabila terpandang harimau, merak pun melompat di atas kepala harimau dan keduanya terus menari. Tiba-tiba Pamong (Juru Iring) bernama Garong yang mengiringi Puteri Raja yang sedang menunggang kuda lalu di kawasan itu. Pamong lalu turun dari kudanya dan menari bersama-sama binatang tadi. Tarian ini terus diamalkan dan boleh dilihat terutamanya di daerah Batu Pahat, Johor.

Tarian Ceracap Inai

Tarian ini ada hubungannya dengan sejarah Kesultanan Melayu Melaka, semasa baginda mudik ke hulu Sungai Muar. Tarian ini terkenal di Kampung Baru Lenga, Batu 28, Lenga di Daerah Muar.

Adalah dipercayai Tarian Ceracap Inai ini berasal dari tarian istana dan ditarikan di hadapan Sultan dan Pembesar-pembesar negeri di dalam sesuatu keramaian.Oleh kerana itu, Tarian Ceracap Inai ada unsur-unsur ‘sembah’/Ampun, merendahkan diri dan ditarikan pula kebiasaannya di hadapan ‘Raja Sehari’/Pengantin. Ditarikan dengan membawa prob seperti ‘Bunga-bungaan Emas’ dan bercahayakan api lilin yang memberikan erti membawa kepada sinaran kebahagiaan dan kesejahteraan. Tarian ini asalnya ditarikan oleh bilangan penari yang ganjil atau ditarikan berpasangan oleh penari lelaki dan wanita dan boleh juga ditarikan oleh penari-penari wanita sahaja, Bilangan penari biasanya terdiri dari 5 - 8 orang.

Tarian Sarah

Dengan iringan muzik berirama Padang Pasir yang rancak, Tarian Sarah, ditarikan dalam suasana riang gembira. Tarian ini terkenal di kalangan Masyarakat Johor yang berketurunan Arab di Daerah-daerah Johor Bahru, Batu Pahat dan Muar.

Di Johor, Tarian ini kebiasaannya ditarikan oleh pasangan lelaki sahaja. Mereka menari beriringan dengan gerakan yang sama dan dalam satu tempo lagu berirama Samrah, pasangan penari dapat menari secara bergantian dan ini membolehkan pasangan pertama tadi berehat dan diganti dengan pasangan berikutnya dan demikianlah seterusnya. (Tarian ini boleh juga ditarikan oleh penari wanita tetapi di ruang yang berasingan dan tertutup dan dikhaskan untuk penonton wanita sahaja). Tarian ini juga ditarikan di majlis-majlis keraian dan di majlis-majlis kekeluargaan seperti majlis kesyukuran dan perkahwinan. Tarian ini juga ada kalanya berlarutan hingga jauh malam.

Sumber : http://johordt.gov.my

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...