Social Icons

Showing posts with label Berita. Show all posts
Showing posts with label Berita. Show all posts

Saturday, September 8, 2012

15,318 KDS1M diserahkan kepada UKM


BANGI, 7 Sept - Sejumlah 15,318 Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KDS1M) diserahkan kepada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), membolehkan pemilik kad menikmati diskaun satu hingga 60 peratus untuk barangan terpilih.

Majlis penyerahan kad itu disempurnakan Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

KADS1M diwujudkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan dilancarkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 2 Julai lepas.

Tuesday, July 10, 2012

Kad Diskaun Siswa 1Malaysia Bantu Kurangkan Kos Sara Hidup

Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KDS1M) dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri pada Isnin lepas (2 Julai) bertujuan untuk membantu pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta di negara ini mengurangkan kos sara hidup. 

Saturday, July 7, 2012

Kulaijaya dan Sedenak Jadi Hab Perkhidmatan Pengeluaran Elektronik (EMS)

JOHOR BAHRU: Kawasan seluas 404.69 hektar di Kulaijaya dan 283.28 hektar di Sedenak dikenal pasti untuk dibangunkan sebagai hab perkhidmatan pengeluaran elektronik (EMS) di negeri ini. 


Menteri Besar Johor, Dato' Abdul Ghani Othman berkata hab itu akan bertindak sebagai nilai tambah kepada sektor perkilangan sedia ada memandangkan pada masa ini aktiviti utama kilang-kilang berkenaan bertumpu pada bidang pemasangan.

Thursday, April 26, 2012

"TENAGA ANAK JOHOR AMAT DIPERLUKAN DALAM FASA PEMBANGUNAN PESAT DI JOHOR" - Abdul Ghani


"Johor kini dalam suasana menjadi destinasi pelaburan, pekerjaan dan tempat bermastautin sehingga jadi negeri pilihan menarik. Kita juga sedang melalui proses pertumbuhan ekonomi yang semakin meningkat terutama dalam lima hingga 10 tahun akan datang. 

Saturday, August 7, 2010

Tahniah daripada PERMAJ

Tahniah diucapkan kepada senior-senior PERMAJ kerana telah berjaya didalam menempuh liku-liku sebagai seorang mahasiswa di Universiti Kebangsaan Malaysia. Doa dan harapan agar semua terus berjaya didalam hidup, di dunia dan di akhirat.

Berikut maklumat tentang senior PERMAJ yang bakal bergelar graduan UKM pada tahun 2010


FEP(AHAD- 8/8/10-SIDANG PAGI)

ZANARIAH BT MASA'
HAZIRAH(KAK CHIK)
FARIZATUL AISYAH

FSSK(AHAD-8/8/10-SIDANG PETANG)

WAN MOHD HAFIZ
RIZWAN FAIZULLAH
AKMAL HAKIM
ZHARIF ZULKIFLI
NOR AZLINA ARBAAIN
SURAYA ABD RAHMAN
MUHAIMIN
NUR IDAYU
HASLILA ASPARI
MOHD NASARUDDIN

FPI (ISNIN-9/8/10- SIDANG PAGI)

SYAFIQ ABD. AZIZ
RANTO HIDAYAT SYAFIL
MOHAMAD RAZIN SALIM


FPEND-(ISNIN-9/8/10-SIDANG PETANG)

MOHAMMAD ZULHILMI MONEL

FST(SELASA-10/8/10-SIDANG PAGI)

SAIFUL NIZAM
YASMIN SAMSUDIN

Wednesday, February 3, 2010

Bonda Sultan Johor Ziarah Makam Almarhum Sultan Iskandar

JOHOR BAHRU: Hajjah Khalsom Abdullah, bonda kepada Sultan Johor Sultan Ibrahim hari ini menziarahi makam Almarhum Sultan Iskandar di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah di sini.

Hajjah Khalsom, 72, yang diiringi cucunda Tunku Abdul Jalil tiba di Makam Diraja kira-kira 2.30 petang untuk menziarahi makam Almarhum Sultan Iskandar yang mangkat pada 22 Januari lalu.

Terdahulu, bonda Sultan Johor itu tiba dengan pesawat khas Diraja Johor di Lapangan Terbang Sultan Ismail, Senai kira-kira 12 tengah hari dari Subang, Selangor. Hajjah Khalsom tiba di ibu negara dari London malam semalam.

Sejurus tiba, Hajjah Khalsom dibawa ke Istana Pasir Pelangi di sini untuk santapan tengah hari bersama-sama Sultan Johor.

Sultan Ibrahim dimasyhurkan sebagai Sultan Johor yang kelima pada 23 Januari lalu di Istana Besar, Johor Bahru berikutan kemangkatan ayahanda baginda sehari sebelum itu. - Bernama

Sunday, January 24, 2010

Penangguhan Malam Mesra Anak Johor Bersama MB Johor


Salam PERMAJ, Perhatian Kepada Semua Alumni, Exco & Ahli PERMAJ Yang Telah Berdaftar Untuk Malam Mesra Anak Johor Bersama MB Johor (29 Januari 2010 / Jumaat), Majlis Tersebut Terpaksa Ditangguhkan Pada Tarikh Yang Akan Diberitahu Kelak Bagi Menghormati Tempoh Berkabung Diatas Kemangkatan Almarhum Sultan Iskandar. Kerjasama Anda Amat Kami Hargai Segala Permasalahan Boleh Diajukan Kepada Pihak PERMAJ Terima Kasih

Jenazah Sultan Iskandar Selamat Disemadikan

JOHOR BAHRU: Jenazah Almarhum Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail selamat disemadikan di sebelah makam ayahanda baginda dalam satu istiadat pemakaman diraja di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah, di sini, hari ini.

Istiadat itu disempurnakan dengan siraman air mawar dan taburan bunga rampai selepas bacaan doa dan talkin oleh Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Seri Mohd Nooh Gadot.

Terdahulu, Tunku Bendahara Tunku Abdul Majid dan cucunda-cucunda Almarhum, termasuk Raja Muda Tunku Ismail Ibrahim bersama-sama menimbus tanah dalam liang lahad makam baginda.

Istiadat itu disaksikan Sultan Johor, Tunku Ibrahim Ismail, Sultanah Zarith Sofiah, Sultanah Zanariah serta anakanda dan cucunda selain anggota kerabat diraja Johor yang lain.

Turut berangkat Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah, Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu''adzam Shah, Sultan Perak Sultan Azlah Shah, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tunku Muhriz, dan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah.

Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Khalil Yaakob, Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng, Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Ahmadshah Abdullah dan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang turut menghadiri upacara pemakaman itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Osman serta beberapa menteri Kabinet termasuk Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hassan dan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, turut hadir.

Sebelum itu, semasa upacara perangkatan jenazah, sebuah pedati khas digunakan untuk membawa jenazah Almarhum Sultan Iskandar yang turut dinaiki Tunku Abdul Majid dan Tunku Ismail Ibrahim, dengan diiringi anggota kerabat diraja Johor dan anggota pasukan Timbalan Setia Negeri Johor dari Istana Besar ke makam diraja.

Upacara perangkatan itu sejauh 3 kilometer dari Istana Besar diiringi dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran.

Selain itu, sebanyak 77 das tembakan mariam disempurnakan oleh 41 Bateri Istiadat Kem Sungai Buloh, sebagai menandakan usia Almarhum semasa kemangkatannya.

Ribuan rakyat jelata turut beratur di sepanjang jalan dari Istana Besar ke Makam Diraja Bukit Mahmoodiah bagi memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Almarhum.

Sultan Iskandar mangkat di Hospital Pakar Puteri di sini pada 7.15 malam tadi selepas dimasukkan ke hospital berkenaan kerana gering. - Bernama

Saturday, January 23, 2010

Tunku Ibrahim Ismail Dimasyhurkan Sebagai Sultan Johor


JOHOR BAHARU, 23 Jan (Bernama) -- Tunku Mahkota Johor Tunku Ibrahim Ismail Ibni Almarhum Sultan Iskandar dimasyhurkan sebagai Sultan Johor yang baru pada Sabtu.

Pemasyhuran itu, berdasarkan Undang-Undang Tuboh Kerajaan Johor 1895, diumumkan secara rasmi oleh Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman di Istana Besar Johor Baharu pada pukul 10.21 pagi.

"Berdasarkan Undang-Undang Tuboh Kerajaan Johor 1895, disahkan bahawa waris Sultan, Tunku Ibrahim Ismail Ibni Almarhum Sultan Iskandar dimasyhurkan sebagai Raja dan Sultan di bawah undang-undang yang sama," katanya.

Sejurus itu, Tunku Ibrahim Ismail, 51, mengangkat sumpah sebagai Sultan Yang Dipertuan Jajahan Johor Darul Takzim dan segala takluknya.

Baginda mengaku akan memerintah dengan adil dan saksama serta bertimbang rasa kepada rakyat.

Tunku Ibrahim Ismail, yang berbaju Melayu putih, juga melafazkan sumpah bagi menghormati dan memelihara agama Islam dan adat istiadat Melayu dan berpegang teguh kepada Undang-undang Tuboh Kerajaan Johor 1895 dan Undang-undang negeri Johor.

Istiadat angkat sumpah disaksikan Sultanah Zanariah, isteri baginda Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah dan kesemua anakanda serta adinda baginda. Turut hadir Penasihat Majlis Agama Islam Johor Datuk Noh Gadot, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad serta anggota Exco kerajaan negeri Johor.

Pemasyhuran Tunku Ibrahim adalah bagi mewarisi takhta Johor selepas kemangkatan Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail pada pukul 7.15 malam semalam di Hospital Pakar Puteri di sini.

Istiadat itu diadakan sebelum pemakaman ayahanda baginda di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah di sini.

Petang semalam, Tunku Ibrahim Ismail dilantik Pemangku Raja selepas Sultan Iskandar dimasukkan ke hospital itu kerana gering.

Tunku Ibrahim Ismail yang menikahi Raja Zarith Sofiah pada 1982 dikurniakan lima putera dan satu puteri, iaitu Tunku Ismail Idris Abdul Majid Abu Bakar Iskandar, Tunku Amina, Tunku Idris, Tunku Abdul Jalil, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Iman.

Diputerakan pada 22 Nov 1958 di Hospital Sultanah Aminah, Johor Baharu, putera sulung daripada 10 adik-beradik itu dilantik sebagai pewaris takhta Negeri Johor apabila ditabalkan sebagai Tunku Mahkota Johor pada 3 Julai 1981.

Baginda pernah dilantik Pemangku Raja pada 25 April 1984 semasa Sultan Iskandar dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong Kelapan.

Tunku Ibrahim menerima pendidikan awal di Sekolah Temenggong Abdul Rahman Satu, Johor dan kemudian belajar di Trinity Grammar School, Australia pada 1968 hingga 1970 sebelum meneruskan pelajaran menengah di Maktab Sultan Abu Bakar (MSAB).

Baginda menerima pendidikan agama di Sekolah Agama Bukit Zaharah dan Sekolah Agama Air Molek, Johor Baharu.

Setelah tamat pengajian peringkat menengah, Tunku Mahkota dihantar oleh ayahanda baginda ke Pusat Latihan Darat (Pulada), Kota Tinggi untuk menerima latihan asas ketenteraan selama tiga bulan.

Bagi melengkapkan lagi pengetahuan baginda dalam asas ketenteraan, Tunku Ibrahim Ismail yang segak itu dihantar ke Fort Bening, Georgia, Amerika Syarikat untuk mengikuti Kursus Asas Pegawai-Pegawai Infantri dan Udara.

Baginda kemudiannya mengikuti latihan lanjut ketenteraan dalam Kursus Pegawai-Pegawai Pasukan Khas di Fort Bragg, Amerika. Sekembalinya ke tanah air, Tunku Ibrahim dilantik sebagai Timbalan Komander, Angkatan Tentera Johor.

Baginda menghadiri kursus latihan helikopter di Pangkalan Tentera Kluang dan menerima sayap selain menamatkan tugas latihan selama dua bulan dalam Tentera Laut Diraja Malaysia.

Tunku Ibrahim juga sangat berminat dalam bidang sukan, khususnya polo yang telah membawa baginda menyertai kejohanan sehingga ke peringkat antarabangsa, termasuk Singapura, Manila dan Brunei.

Turut menjadi kegemaran baginda ialah sukan tenis, luncur layar, menembak dan memandu kereta.

--BERNAMA

Sultan Johor Mangkat : Al-Fatihah


JOHOR BAHARU, 22 Jan (Bernama) -- Sultan Johor Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail, 77, mangkat pada Jumaat malam selepas memerintah Johor hampir tiga dekad.

Baginda mangkat pada pukul 7.15 malam di Hospital Pakar Puteri di sini selepas dimasukkan ke hospital itu hari ini kerana gering.

Kemangkatan baginda diumumkan oleh Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman.

Baginda meninggalkan Sultanah Zanariah serta 10 orang putera-puteri.

Sultan Iskandar, yang diputerakan di Istana Semayam, Johor Baharu pada 8 April 1932, dimasyhurkan sebagai Sultan Johor pada 11 Mei 1981.

Tiga tahun kemudian pada 15 Nov 1984 baginda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong kelapan.

Petang ini, putera sulung baginda Tunku Mahkota Johor Tunku Ibrahim Ismail dimasyhurkan Pemangku Raja dan istiadat mengangkat sumpah diadakan di Istana Besar Johor.

Berita mengenai kegeringan Sultan Iskandar diumumkan oleh Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor Tunku Osman Tunku Temenggong Ahmad pada pukul 5 petang.

Almarhum merupakan putera ketiga Almarhum Sultan Ismail ibni Sultan Ibrahim dan cicinda kepada Bapa Johor Moden Almarhum Sultan Abu Bakar.

Sultan Iskandar, yang merupakan Sultan Johor keempat dalam sejarah Johor moden, menerima pendidikan awal di Johor Baharu, sebelum melanjutkan pelajaran ke Australia dan United Kingdom.

Baginda yang merupakan Kolonel Yang Dipertua, Rejimen Perkhidmatan Khas Malaysia (Komando), sering kelihatan memakai uniform tentera pada upacara rasmi kerana minatnya dalam bidang ketenteraan.

Nama Almarhum terpahat pada sekolah, acara sukan seperti Kejohanan Golf Terbuka Iskandar dan juga koridor pembangunan selatan Johor iaitu Iskandar Malaysia.

Abdul Ghani turut ditanya pemberita tentang punca kemangkatan baginda, tetapi enggan menjelaskan lebih lanjut.

"Semoga dicucuri rahmat yang berlebih-lebihan ke atas roh Al-Marhum Duli Yang Maha Mulia Sultan itu," katanya pada sidang media yang turut dihadiri oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Abdul Latif Yusof dan Setiausaha Jumaah Majlis Diraja Johor Datuk Abdul Rahim Ramli.

Turut berada pada sidang media itu ialah Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff.

Menteri Besar berkata, perangkatan jenazah baginda Sultan Johor ke Makam Diraja Bukit Mahmoodiah akan bermula pada 1.30 petang hari ini.

Rakyat Johor menurut beliau, boleh menziarah jenazah baginda di Istana Besar mulai 9 pagi hari ini, manakala tempoh ziarah bagi orang kenamaan dijadualkan bermula pada 11 pagi hingga 12.30 tengah hari.

Sementara itu dalam sidang medianya, beliau turut meminta rakyat dan penduduk negeri ini supaya berkabung mulai hari ini sehingga pemakaman jenazah Almarhum Duli Yang Maha Mulia selama tujuh hari.

Manakala bagi kerabat-kerabat diraja pula katanya, tempoh perkabungan adalah selama 40 hari mulai hari ini.

Abdul Ghani berkata, bendera negeri dinaikkan separuh tiang mulai malam semalam selama tujuh hari dan membatalkan segala bentuk hiburan dan permainan sepanjang hari pemakaman baginda.

Beliau juga mengarahkan semua masjid dan surau negeri ini supaya mengadakan majlis bacaan tahlil dan doa ke atas roh baginda selepas fardu Maghrib selama tujuh hari mulai hari ini.

Sementara itu, jenazah almarhum Sultan Iskandar kelihatan dibawa ke Istana Besar pada 11.22 malam.

Van jenazah yang membawa jenazah baginda dilihat meninggalkan Hospital Pakar Puteri sambil diiringi berpuluh buah motosikal pengiring trafik, kenderaan kerabat diraja Johor, anggota-anggota exco kerajaan negeri Johor dan Timbalan Setia Negeri Johor (JMF).

Perkarangan hospital tersebut dikawal ketat oleh anggota polis, JMF dan juga Rela berikutan kehadiran ramai petugas media termasuk dari Singapura dan juga rakyat jelata.

Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah, Tengku Puan Pahang Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, dan Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah merupakan yang terawal menziarahi almarhum.

Turut melawat almarhum adalah bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Datuk Halimah Sadique, dan Ketua Eksekutif Johor Corporation Tan Sri Muhammad Ali Hashim.

-- BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...