Social Icons

Saturday, September 8, 2012

15,318 KDS1M diserahkan kepada UKM


BANGI, 7 Sept - Sejumlah 15,318 Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KDS1M) diserahkan kepada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), membolehkan pemilik kad menikmati diskaun satu hingga 60 peratus untuk barangan terpilih.

Majlis penyerahan kad itu disempurnakan Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

KADS1M diwujudkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan dilancarkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 2 Julai lepas.

Objektifnya untuk membantu mengurangkan kos sara hidup pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta seluruh negara, idea itu hasil cadangan yang dibentangkan oleh siswa pada Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan pada 21 Nov tahun lepas.

Pada sidang akhbar kemudian, Timbalan Ketua Setiausaha (Kepenggunaan dan Pengurusan) KPDNKK Datin Mahani Tan Abdullah berkata UKM merupakan IPTA yang keempat menerima kad berkenaan. Dijadualkan menjelang 25 September depan, semua IPTA akan memperoleh kad berkenaan.


‎"Semua pelajar akan memperoleh kad berkenaan dengan syarat merupakan pelajar sepenuh masa...untuk IPT swasta ia akan dilakukan kemudian selepas kementerian memperoleh semua maklumat mengenai pelajar oleh IPT swasta terbabit," katanya.

Beliau berkata semua pelajar boleh menggunakan kad itu serta merta di kedai-kedai terpilih dan boleh merujuk terma dan syarat diskaun dalam laman web kementerian.

Mahani berkata setakat ini terdapat 206 syarikat melibatkan 2,336 cawangan di seluruh negara mengambil bahagian dalam program itu.

Tawaran diskaun merangkumi barangan seperti alat tulis; pakaian dan kelengkapan sukan; klinik kesihatan; optimetri dan cermin mata; penginapan dan pengangkutan; makanan dan minuman; pusat rawatan atau kecantikan; produk IT; automotif; dan peruncitan.

Tempoh sah kad ialah semasa tempoh pengajian pelajar sahaja. -Bernama

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...