Social Icons

Showing posts with label Diraja Johor. Show all posts
Showing posts with label Diraja Johor. Show all posts

Monday, October 11, 2010

Tunku Mahkota Johor diisytihar sebagai Pro Canselor UTHM

BATU PAHAT: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar hari ini mengisytiharkan anakanda baginda, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai Pro-Canselor Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) sempena konvokesyen ke-10 universiti itu, hari ini.

Sultan Ibrahim yang juga Canselor UTHM turut menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pengurusan Teknologi) kepada mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.


Pada majlis yang sama, baginda turut menyampaikan watikah anugerah Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pendidikan Teknikal) kepada Mantan Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Politeknik, Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Imran Idris.


Hadir sama di majlis itu adalah isteri baginda, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris; Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman dan Naib Canselor UTHM Profesor Datuk Dr Mohd Noh Dalimin.


Dalam titahnya pada majlis itu, Sultan Johor antara lain menggesa mahasiswa menajamkan minda dan intelek melalui konsep pendidikan yang berkesan.


Baginda bertitah, mahasiswa juga perlu memperteguh jati diri dan kemahiran insaniah melalui aktiviti kokurikulum yang dinamik dan menarik.


"Usaha untuk meningkatkan dan memperteguhkan jati diri serta kemahiran insaniah mahasiswa perlu menjadi agenda penting universiti.


"Kursus-kursus dan aktiviti kokurikulum harus dirangka dan dilaksanakan secara lebih berkesan serta dikendalikan oleh tenaga-tenaga pakar yang bertauliah," titah baginda.


Sultan Ibrahim juga mahu universiti bersedia meneroka bidang-bidang baru yang lebih dinamik dan berkesan sebagai pengembangan program kokurikulum sedia ada.


Baginda bertitah, ini kerana generasi muda di kampus adalah golongan yang dahagakan perubahan dan cabaran.-Bernama

Wednesday, February 3, 2010

Bonda Sultan Johor Ziarah Makam Almarhum Sultan Iskandar

JOHOR BAHRU: Hajjah Khalsom Abdullah, bonda kepada Sultan Johor Sultan Ibrahim hari ini menziarahi makam Almarhum Sultan Iskandar di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah di sini.

Hajjah Khalsom, 72, yang diiringi cucunda Tunku Abdul Jalil tiba di Makam Diraja kira-kira 2.30 petang untuk menziarahi makam Almarhum Sultan Iskandar yang mangkat pada 22 Januari lalu.

Terdahulu, bonda Sultan Johor itu tiba dengan pesawat khas Diraja Johor di Lapangan Terbang Sultan Ismail, Senai kira-kira 12 tengah hari dari Subang, Selangor. Hajjah Khalsom tiba di ibu negara dari London malam semalam.

Sejurus tiba, Hajjah Khalsom dibawa ke Istana Pasir Pelangi di sini untuk santapan tengah hari bersama-sama Sultan Johor.

Sultan Ibrahim dimasyhurkan sebagai Sultan Johor yang kelima pada 23 Januari lalu di Istana Besar, Johor Bahru berikutan kemangkatan ayahanda baginda sehari sebelum itu. - Bernama

Sunday, January 24, 2010

Jenazah Sultan Iskandar Selamat Disemadikan

JOHOR BAHRU: Jenazah Almarhum Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail selamat disemadikan di sebelah makam ayahanda baginda dalam satu istiadat pemakaman diraja di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah, di sini, hari ini.

Istiadat itu disempurnakan dengan siraman air mawar dan taburan bunga rampai selepas bacaan doa dan talkin oleh Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Seri Mohd Nooh Gadot.

Terdahulu, Tunku Bendahara Tunku Abdul Majid dan cucunda-cucunda Almarhum, termasuk Raja Muda Tunku Ismail Ibrahim bersama-sama menimbus tanah dalam liang lahad makam baginda.

Istiadat itu disaksikan Sultan Johor, Tunku Ibrahim Ismail, Sultanah Zarith Sofiah, Sultanah Zanariah serta anakanda dan cucunda selain anggota kerabat diraja Johor yang lain.

Turut berangkat Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah, Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu''adzam Shah, Sultan Perak Sultan Azlah Shah, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tunku Muhriz, dan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah.

Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Khalil Yaakob, Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng, Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Ahmadshah Abdullah dan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang turut menghadiri upacara pemakaman itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Osman serta beberapa menteri Kabinet termasuk Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hassan dan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, turut hadir.

Sebelum itu, semasa upacara perangkatan jenazah, sebuah pedati khas digunakan untuk membawa jenazah Almarhum Sultan Iskandar yang turut dinaiki Tunku Abdul Majid dan Tunku Ismail Ibrahim, dengan diiringi anggota kerabat diraja Johor dan anggota pasukan Timbalan Setia Negeri Johor dari Istana Besar ke makam diraja.

Upacara perangkatan itu sejauh 3 kilometer dari Istana Besar diiringi dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran.

Selain itu, sebanyak 77 das tembakan mariam disempurnakan oleh 41 Bateri Istiadat Kem Sungai Buloh, sebagai menandakan usia Almarhum semasa kemangkatannya.

Ribuan rakyat jelata turut beratur di sepanjang jalan dari Istana Besar ke Makam Diraja Bukit Mahmoodiah bagi memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Almarhum.

Sultan Iskandar mangkat di Hospital Pakar Puteri di sini pada 7.15 malam tadi selepas dimasukkan ke hospital berkenaan kerana gering. - Bernama

Saturday, January 23, 2010

Tunku Ibrahim Ismail Dimasyhurkan Sebagai Sultan Johor


JOHOR BAHARU, 23 Jan (Bernama) -- Tunku Mahkota Johor Tunku Ibrahim Ismail Ibni Almarhum Sultan Iskandar dimasyhurkan sebagai Sultan Johor yang baru pada Sabtu.

Pemasyhuran itu, berdasarkan Undang-Undang Tuboh Kerajaan Johor 1895, diumumkan secara rasmi oleh Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman di Istana Besar Johor Baharu pada pukul 10.21 pagi.

"Berdasarkan Undang-Undang Tuboh Kerajaan Johor 1895, disahkan bahawa waris Sultan, Tunku Ibrahim Ismail Ibni Almarhum Sultan Iskandar dimasyhurkan sebagai Raja dan Sultan di bawah undang-undang yang sama," katanya.

Sejurus itu, Tunku Ibrahim Ismail, 51, mengangkat sumpah sebagai Sultan Yang Dipertuan Jajahan Johor Darul Takzim dan segala takluknya.

Baginda mengaku akan memerintah dengan adil dan saksama serta bertimbang rasa kepada rakyat.

Tunku Ibrahim Ismail, yang berbaju Melayu putih, juga melafazkan sumpah bagi menghormati dan memelihara agama Islam dan adat istiadat Melayu dan berpegang teguh kepada Undang-undang Tuboh Kerajaan Johor 1895 dan Undang-undang negeri Johor.

Istiadat angkat sumpah disaksikan Sultanah Zanariah, isteri baginda Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah dan kesemua anakanda serta adinda baginda. Turut hadir Penasihat Majlis Agama Islam Johor Datuk Noh Gadot, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad serta anggota Exco kerajaan negeri Johor.

Pemasyhuran Tunku Ibrahim adalah bagi mewarisi takhta Johor selepas kemangkatan Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail pada pukul 7.15 malam semalam di Hospital Pakar Puteri di sini.

Istiadat itu diadakan sebelum pemakaman ayahanda baginda di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah di sini.

Petang semalam, Tunku Ibrahim Ismail dilantik Pemangku Raja selepas Sultan Iskandar dimasukkan ke hospital itu kerana gering.

Tunku Ibrahim Ismail yang menikahi Raja Zarith Sofiah pada 1982 dikurniakan lima putera dan satu puteri, iaitu Tunku Ismail Idris Abdul Majid Abu Bakar Iskandar, Tunku Amina, Tunku Idris, Tunku Abdul Jalil, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Iman.

Diputerakan pada 22 Nov 1958 di Hospital Sultanah Aminah, Johor Baharu, putera sulung daripada 10 adik-beradik itu dilantik sebagai pewaris takhta Negeri Johor apabila ditabalkan sebagai Tunku Mahkota Johor pada 3 Julai 1981.

Baginda pernah dilantik Pemangku Raja pada 25 April 1984 semasa Sultan Iskandar dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong Kelapan.

Tunku Ibrahim menerima pendidikan awal di Sekolah Temenggong Abdul Rahman Satu, Johor dan kemudian belajar di Trinity Grammar School, Australia pada 1968 hingga 1970 sebelum meneruskan pelajaran menengah di Maktab Sultan Abu Bakar (MSAB).

Baginda menerima pendidikan agama di Sekolah Agama Bukit Zaharah dan Sekolah Agama Air Molek, Johor Baharu.

Setelah tamat pengajian peringkat menengah, Tunku Mahkota dihantar oleh ayahanda baginda ke Pusat Latihan Darat (Pulada), Kota Tinggi untuk menerima latihan asas ketenteraan selama tiga bulan.

Bagi melengkapkan lagi pengetahuan baginda dalam asas ketenteraan, Tunku Ibrahim Ismail yang segak itu dihantar ke Fort Bening, Georgia, Amerika Syarikat untuk mengikuti Kursus Asas Pegawai-Pegawai Infantri dan Udara.

Baginda kemudiannya mengikuti latihan lanjut ketenteraan dalam Kursus Pegawai-Pegawai Pasukan Khas di Fort Bragg, Amerika. Sekembalinya ke tanah air, Tunku Ibrahim dilantik sebagai Timbalan Komander, Angkatan Tentera Johor.

Baginda menghadiri kursus latihan helikopter di Pangkalan Tentera Kluang dan menerima sayap selain menamatkan tugas latihan selama dua bulan dalam Tentera Laut Diraja Malaysia.

Tunku Ibrahim juga sangat berminat dalam bidang sukan, khususnya polo yang telah membawa baginda menyertai kejohanan sehingga ke peringkat antarabangsa, termasuk Singapura, Manila dan Brunei.

Turut menjadi kegemaran baginda ialah sukan tenis, luncur layar, menembak dan memandu kereta.

--BERNAMA

Sultan Johor Mangkat : Al-Fatihah


JOHOR BAHARU, 22 Jan (Bernama) -- Sultan Johor Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail, 77, mangkat pada Jumaat malam selepas memerintah Johor hampir tiga dekad.

Baginda mangkat pada pukul 7.15 malam di Hospital Pakar Puteri di sini selepas dimasukkan ke hospital itu hari ini kerana gering.

Kemangkatan baginda diumumkan oleh Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman.

Baginda meninggalkan Sultanah Zanariah serta 10 orang putera-puteri.

Sultan Iskandar, yang diputerakan di Istana Semayam, Johor Baharu pada 8 April 1932, dimasyhurkan sebagai Sultan Johor pada 11 Mei 1981.

Tiga tahun kemudian pada 15 Nov 1984 baginda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong kelapan.

Petang ini, putera sulung baginda Tunku Mahkota Johor Tunku Ibrahim Ismail dimasyhurkan Pemangku Raja dan istiadat mengangkat sumpah diadakan di Istana Besar Johor.

Berita mengenai kegeringan Sultan Iskandar diumumkan oleh Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor Tunku Osman Tunku Temenggong Ahmad pada pukul 5 petang.

Almarhum merupakan putera ketiga Almarhum Sultan Ismail ibni Sultan Ibrahim dan cicinda kepada Bapa Johor Moden Almarhum Sultan Abu Bakar.

Sultan Iskandar, yang merupakan Sultan Johor keempat dalam sejarah Johor moden, menerima pendidikan awal di Johor Baharu, sebelum melanjutkan pelajaran ke Australia dan United Kingdom.

Baginda yang merupakan Kolonel Yang Dipertua, Rejimen Perkhidmatan Khas Malaysia (Komando), sering kelihatan memakai uniform tentera pada upacara rasmi kerana minatnya dalam bidang ketenteraan.

Nama Almarhum terpahat pada sekolah, acara sukan seperti Kejohanan Golf Terbuka Iskandar dan juga koridor pembangunan selatan Johor iaitu Iskandar Malaysia.

Abdul Ghani turut ditanya pemberita tentang punca kemangkatan baginda, tetapi enggan menjelaskan lebih lanjut.

"Semoga dicucuri rahmat yang berlebih-lebihan ke atas roh Al-Marhum Duli Yang Maha Mulia Sultan itu," katanya pada sidang media yang turut dihadiri oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Abdul Latif Yusof dan Setiausaha Jumaah Majlis Diraja Johor Datuk Abdul Rahim Ramli.

Turut berada pada sidang media itu ialah Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff.

Menteri Besar berkata, perangkatan jenazah baginda Sultan Johor ke Makam Diraja Bukit Mahmoodiah akan bermula pada 1.30 petang hari ini.

Rakyat Johor menurut beliau, boleh menziarah jenazah baginda di Istana Besar mulai 9 pagi hari ini, manakala tempoh ziarah bagi orang kenamaan dijadualkan bermula pada 11 pagi hingga 12.30 tengah hari.

Sementara itu dalam sidang medianya, beliau turut meminta rakyat dan penduduk negeri ini supaya berkabung mulai hari ini sehingga pemakaman jenazah Almarhum Duli Yang Maha Mulia selama tujuh hari.

Manakala bagi kerabat-kerabat diraja pula katanya, tempoh perkabungan adalah selama 40 hari mulai hari ini.

Abdul Ghani berkata, bendera negeri dinaikkan separuh tiang mulai malam semalam selama tujuh hari dan membatalkan segala bentuk hiburan dan permainan sepanjang hari pemakaman baginda.

Beliau juga mengarahkan semua masjid dan surau negeri ini supaya mengadakan majlis bacaan tahlil dan doa ke atas roh baginda selepas fardu Maghrib selama tujuh hari mulai hari ini.

Sementara itu, jenazah almarhum Sultan Iskandar kelihatan dibawa ke Istana Besar pada 11.22 malam.

Van jenazah yang membawa jenazah baginda dilihat meninggalkan Hospital Pakar Puteri sambil diiringi berpuluh buah motosikal pengiring trafik, kenderaan kerabat diraja Johor, anggota-anggota exco kerajaan negeri Johor dan Timbalan Setia Negeri Johor (JMF).

Perkarangan hospital tersebut dikawal ketat oleh anggota polis, JMF dan juga Rela berikutan kehadiran ramai petugas media termasuk dari Singapura dan juga rakyat jelata.

Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah, Tengku Puan Pahang Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, dan Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah merupakan yang terawal menziarahi almarhum.

Turut melawat almarhum adalah bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Datuk Halimah Sadique, dan Ketua Eksekutif Johor Corporation Tan Sri Muhammad Ali Hashim.

-- BERNAMA

Friday, October 30, 2009

Biografi Sultan Johor & Sultanah Johor

Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Almutawakkil Alallah, Sultan Iskandar Ibni Al-Marhum Sultan Ismail

image
  1. Diputerakan pada 8 April 1932 di Istana Semayam, Johor Bahru
  2. Baginda menerima pendidikan awal di Sekolah Rendah Ngee Heng, Johor Bahru sebelum melanjutkan pelajarannya di English College (sekarang Sekolah Sultan Abu Bakar) di Johor Bahru.
  3. Baginda seterusnya melanjutkan pelajarannya di Trinity Grammer School Australia dan selepas itu ke United Kingdom.
  4. Setelah menamatkan pengajiannya, baginda berangkat pulang ke Johor pada tahun 1956 dan terus berkhidmat sebagai Pegawai Kadet Johor Civil Service.
  5. Baginda telah dilantik sebagai Tengku Mahkota pada 29 April 1981.
  6. Pada 11 Mei 1981 baginda telah dimasyhurkan sebagai Sultan Johor yang keempat
  7. Baginda telah dilantik sebagai Canselor Universiti Teknologi Malaysia pada 5 April 1982
  8. Baginda ditabalkan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong VIII pada 15 November 1984
  9. Baginda pernah mendapat latihan asas ketenteraan dalam Pasukan Askar Timbalan Setia Negeri Johor (Johore Military Forces) yang diasas dan ditubuhkan oleh Almarhum Sultan Abu Bakar
  10. Pada masa lapang baginda gemar bermain polo, papan layar, memburu dan bermain golf.
  11. Baginda Sultan telah bernikah dengan Sultanah Hajah Zanariah binti Tengku Ahmad dan telah dikurniakan 10 orang anakanda - dua orang putera dan lapan orang puteri.

Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda, Sultanah Zanariah binti Al-Marhum Tunku Ahmad

image
  1. Seri Paduka Baginda Sultanah Zanariah binti Almarhum Tunku Ahmad berasal dari keluarga Diraja Kelantan
  2. Diputerikan pada 5 Julai 1940 di Dusun Green, Pasir Mas, Kelantan.
  3. Baginda mula mendapat pendidikan formal di Sekolah Sultanah Zainab, Kelantan pada tahun 1946.
  4. Kemudian baginda telah melanjutkan pelajaran baginda di Convent Bukit Nenas, Kuala Lumpur dari tahun 1950 hingga 1952
  5. Baginda meneruskan pelajaran di Sekolah Sultan Ibrahim, Pasir Mas.
  6. Baginda telah berangkat ke England dalam tahun 1954 untuk melanjutkan lagi pelajaran baginda di Upper Chime School Isle of Wight
  7. Dengan daya usaha baginda sendiri, baginda telah menubuhkan sebuah badan yang diberi nama Majlis Wanita Negeri Johor atau ringkasnya MAWAR.
  8. Pada masa lapang, baginda gemar beriadah, menunggang kuda, bermain golf, tenis dan membaca.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...