Social Icons

Showing posts with label Presiden. Show all posts
Showing posts with label Presiden. Show all posts

Tuesday, March 16, 2010

SELEMBAR BICARA DARI PRESIDEN PERMAJ SESI 2009/2010


Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,


Marilah sama-sama kita memanjat kesyukuran kepada Allah S.W.T. kerana dengan izin, kurnia dan InayahNya, kita masih lagi diberi peluang dan ruang untuk bersama-sama dalam meneruskan usaha serta dapat menjalani kehidupan kita sebagai hamba Allah dalam keadaan aman dan sejahtera. Justeru itu, bersama-samalah kita menjaga hubungan dan memantapkan akidah pegangan kita kepada Allah Ta’ala dan dalam masa yang turut menjaga hubungan kita sesama makhluk yang lain di atas muka bumi yang serba sempurna ini.

Jutaan terima kasih diucapkan kepada seluruh ahli Persatuan Mahasiswa Anak Johor(PERMAJ) Universiti Kebangsaan Malaysia sekalian kerana telah memberi peluang dan kepercayaan kepada pihak kami barisan baru untuk menduduki kepimpinan PERMAJ pada sesi ini. Terima kasih juga diucapkan di atas sokongan, dorongan dan penglibatan anda semua dalam setiap aktiviti dan program PERMAJ selama ini. Kami barisan pimpinan PERMAJ sesi 2009/2010 akan sentiasa berusaha mempertingkat mutu perkhidmatan kami ke arah yang lebih cemerlang di samping merapatkan lagi nilai kekluargaan antara pimpinan PERMAJ dengan ahli serta masyarakat amnya.

Rakan-rakan mahasiswa/i yang disanjungi sekalian,

Pepatah ada menyatakan bahawa “patah tumbuh hilang berganti” dan “manakan jatuh kuah kalau bukan ke nasi”. Kata-kata seumpama ini cukup sinonim apabila tibanya sesi baru dan pertukaran tampuk kepimpinan yang lain. Hakikatnya, kami semua amat berterima kasih kepada semua insan yang telah berjasa besar dalam membantu kami dalam memberi tunjuk ajar serta nasihat yang mencurah-curah. Semua itu adalah permainan dunia yang mengajar kita erti kehidupan sebenar bahawa setiap yang bermula pasti ada penghujungnya, dan setiap yang pergi pasti ada gantinya. Justeru, saya menyeru kepada pimpinan PERMAJ sesi 2009/2010, untuk kita bersama-sama berusaha sedaya mungkin dalam memperkasa lagi PERMAJ dengan program dan aktiviti pada sesi ini sesuai dengan janji kami untuk meneruskan kesinambungan kecemerlangan PERMAJ agar ia dapat diteruskan untuk mereka-mereka pada amsa akan datang. Dalam pada itu, harus diingatkan bahawa setiap tanggungjawab yang dipikul harus dilaksanakan dengan ikhlas demi memartabatkan PERMAJ dimata Universiti khasnya dan Malaysia amnya.Usaha dan pemantapan gerak kerja bukan hanya untuk menaikkan nama dan imej PERMAJ semata-mata tetapi biarlah ia terkesan di hati naluri warga PERMAJ.

Buat sahabat ahli PERMAJ yang dikasihi sekalian, teruskanlah menyokong segala usaha dan perjalanan yang dirancang oleh kami sepanjang sesi ini. Siapalah kami tanpa sokongan dan dorongan kalian semua. Legasi yang dibina sekian lama akan kami pertahankan. Biar di mana kita berada tapi kita tetap bersama. PERMAJ tidak akan mati dizaman kami, itulah janji kami kerana KITA ADALAH PERMAJ, PERMAJ ADALAH KITA.

Sekian,

Wabillahitaufiq Wal Hidayah Wassalamualaikum W.B.T.


Mohd Hafiz Bin Mohd Rais

Presiden Persatuan Mahasiswa Anak Johor (PERMAJ)

UKM Sesi 2009/2010

Saturday, July 12, 2008

Seulas Bicara Presiden

Assalammualaikum dan salam sejahtera, salam perpaduan pada semua warga Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM. Pada insan yang baru saja diberikan gelaran Mahasiswa, selamat datang diucapkan dari warga PERMAJ. Tahniah kerana berjaya menjejakkan kaki di bumi bertuah ini, yang sememangnya bumi idaman bagi mereka yang berminat melanjutkan pelajaran di menara gading. Bagi mereka yang berjaya menempatkan diri di Universiti terulung ini, anda seharusnya mempunyai rasa bangga dalam diri dan cukup bertuah. Ibarat permata dalam pasir di pantai, bersinar dalam ribuan yang lain. Bagi saya inilah masanya, peluang dan ruang untuk anda menggilap permata agar lebih bersinar dan terus bersinar yang akhirnya terisi dengan ilmu akhirat dan duniawi.

Dalam pepatah arab menyebut “menuntut ilmu sehingga ke negeri Cina”. Ilmu yang dituntut membawa kita menyelami pelbagai pengetahuan yang tidak terhad dan tidak akan pernah terhenti. Dari kita menangis, disusukan sehingga ke liang lahad, kita tidak akan berhenti belajar sesuatu. Ilmu itu bukan hanya pada ilmu akademik semata-mata. Di peringkat Universiti, ilmu sampingan yang boleh kita pelajari adalah ilmu berorganisasi. Ianya merupakan satu nilai tambah untuk kita, untuk menjana modal insan yang mampu bersaing di peringkat yang lebih tinggi. Kita seharusnya menyahut seruan dan cabaran kerajaan dalam menjana dan mengeluarkan modal insan ini. Jadi inilah kesempatan yang harus diambil dalam meningkatkan skil-skil ke arah modal insan yang cemerlang. Skil-skil berkomunikasi, berhadapan dengan pelanggan, ’work under pressure’, dan kebolehan memimpin diperlukan dalam menjadikan kita sebagai mahasiswa yang terunggul dikalangan yang unggul. Tetapi jangan kita melupakan akademik sebagai aset yang utama dalam membentuk kejayaan di Universiti ini. Marilah kita bersama-sama membentuk Malaysia dalam acuan kita sendiri, Cemerlang, Gemilang dan Terbilang selaras dengan Wawasan 2020.

Dalam kesibukan kita mempersiapkan diri menghadapi semester baru ini, jangan kita lupa untuk pasangkan niat dan tujuan asal kita dalam dunia Universiti ini. Kembalikan ingatan kita pada harapan keluarga untuk melihat kejayaan dan segulung ijazah berada dalam genggaman tangan. Untuk rakan-rakan seperjuangan di kampus yang damai ini, bersama-sama kita berusaha memperbaiki diri dan keputusan di semester-semester lepas. Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya, bersusah-susah dahulu bersenang-senang kemudian, merupakan kata-kata yang terbaik dalam mendorong ataupun sebagai ’booster’ dalam memacu kita kepada kejayaan yang lebih cemerlang.

Kalau kita memandang ke atas, jangan lupa kaki yang memijak. Kalau kita memandang hadapan, jangan lupa permulaan asal kita. Mengejar kejayaan yang yang tiada penghujung tanpa keberkatan dari Pencipta yang Esa merupakan satu kerugian Umat Islam di zaman yang penuh ranjau dan duri ini. Sebagai mahasiswa, kitalah pejuang, kitalah pewaris zaman kegemilangan Ketamadunan Islam. Kita jugalah yang bakal mencorak halatuju Malaysia terkehadapan dari yang lain. Akhir kata, tanamkanlah diri anda dengan pelbagai ilmu duniawi, sematkanlah di dada bekalan di akhirat kelak, yang mampu menjadikan kita insan terulung yang mencipta nama di persada antarabangsa.

”Cemerlang Bersama Johor”



Mohd Saiful Nizam Bin Mohd Zahri
Presiden
Persatuan Mahasiswa Anak Johor 2007/2008
Universiti Kebangsaan Malaysia
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...