Social Icons

Tuesday, March 16, 2010

SELEMBAR BICARA DARI PRESIDEN PERMAJ SESI 2009/2010


Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,


Marilah sama-sama kita memanjat kesyukuran kepada Allah S.W.T. kerana dengan izin, kurnia dan InayahNya, kita masih lagi diberi peluang dan ruang untuk bersama-sama dalam meneruskan usaha serta dapat menjalani kehidupan kita sebagai hamba Allah dalam keadaan aman dan sejahtera. Justeru itu, bersama-samalah kita menjaga hubungan dan memantapkan akidah pegangan kita kepada Allah Ta’ala dan dalam masa yang turut menjaga hubungan kita sesama makhluk yang lain di atas muka bumi yang serba sempurna ini.

Jutaan terima kasih diucapkan kepada seluruh ahli Persatuan Mahasiswa Anak Johor(PERMAJ) Universiti Kebangsaan Malaysia sekalian kerana telah memberi peluang dan kepercayaan kepada pihak kami barisan baru untuk menduduki kepimpinan PERMAJ pada sesi ini. Terima kasih juga diucapkan di atas sokongan, dorongan dan penglibatan anda semua dalam setiap aktiviti dan program PERMAJ selama ini. Kami barisan pimpinan PERMAJ sesi 2009/2010 akan sentiasa berusaha mempertingkat mutu perkhidmatan kami ke arah yang lebih cemerlang di samping merapatkan lagi nilai kekluargaan antara pimpinan PERMAJ dengan ahli serta masyarakat amnya.

Rakan-rakan mahasiswa/i yang disanjungi sekalian,

Pepatah ada menyatakan bahawa “patah tumbuh hilang berganti” dan “manakan jatuh kuah kalau bukan ke nasi”. Kata-kata seumpama ini cukup sinonim apabila tibanya sesi baru dan pertukaran tampuk kepimpinan yang lain. Hakikatnya, kami semua amat berterima kasih kepada semua insan yang telah berjasa besar dalam membantu kami dalam memberi tunjuk ajar serta nasihat yang mencurah-curah. Semua itu adalah permainan dunia yang mengajar kita erti kehidupan sebenar bahawa setiap yang bermula pasti ada penghujungnya, dan setiap yang pergi pasti ada gantinya. Justeru, saya menyeru kepada pimpinan PERMAJ sesi 2009/2010, untuk kita bersama-sama berusaha sedaya mungkin dalam memperkasa lagi PERMAJ dengan program dan aktiviti pada sesi ini sesuai dengan janji kami untuk meneruskan kesinambungan kecemerlangan PERMAJ agar ia dapat diteruskan untuk mereka-mereka pada amsa akan datang. Dalam pada itu, harus diingatkan bahawa setiap tanggungjawab yang dipikul harus dilaksanakan dengan ikhlas demi memartabatkan PERMAJ dimata Universiti khasnya dan Malaysia amnya.Usaha dan pemantapan gerak kerja bukan hanya untuk menaikkan nama dan imej PERMAJ semata-mata tetapi biarlah ia terkesan di hati naluri warga PERMAJ.

Buat sahabat ahli PERMAJ yang dikasihi sekalian, teruskanlah menyokong segala usaha dan perjalanan yang dirancang oleh kami sepanjang sesi ini. Siapalah kami tanpa sokongan dan dorongan kalian semua. Legasi yang dibina sekian lama akan kami pertahankan. Biar di mana kita berada tapi kita tetap bersama. PERMAJ tidak akan mati dizaman kami, itulah janji kami kerana KITA ADALAH PERMAJ, PERMAJ ADALAH KITA.

Sekian,

Wabillahitaufiq Wal Hidayah Wassalamualaikum W.B.T.


Mohd Hafiz Bin Mohd Rais

Presiden Persatuan Mahasiswa Anak Johor (PERMAJ)

UKM Sesi 2009/2010

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...