Social Icons

Saturday, October 31, 2009

Sejarah Pembinaan Tambak Johor


Negeri Johor merupakan negeri yang kedua terbesar di Semenanjung Malaysia. Terletak di sebelah selatan dan mempunyai sejarah perkembangan yang unik. Ia merupakan salah sebuah negeri di Tanah Melayu yang tidak dijajah oleh Inggeris.
Bapa Johor Moden iaitu Sultan Abu Bakar telah memindahkan ibu negeri Johor dari Telok Belanga ke Johor Bahru pada tahun 1866. Apabila baginda mangkat pada tahun 1895, takhta Kerajaan Negeri Johor digantikan oleh anakandanya iaitu Sultan Ibrahim.

Tambak Johor telah dibina pada zaman pemerintahan baginda. Pembinaannya telah mencatatkan sejarahnya yang tersendiri seterusnya memberi kesan kepada ekonomi, politik dan sosial negeri Johor khasnya dan Malaysia amnya.


Sejarah Pembinaan Tambak Johor

Sebelum adanya tambak, perhubungan di antara negeri Johor dengan Singapura adalah menggunakan jalan air sahaja. Sampan dan tongkang digunakan untuk mengangkut barang-barang keluaran negeri Johor ke Singapura.

Dari masa ke semasa, kegiatan ini bertambah pesat lagi. Dalam pada itu, usaha untuk membina landasan keretapi di negeri Johor telah dijalankan. Pembinaan landasan keretapi siap dibina pada tahun 1919.

Selepas perang Dunia I, pihak berkuasa keretapi mencadangkan bahawa lebih elok perkhidmatan keretapi Singapura disambung dengan keretapi Johor melalui Selat Tebrau. Cadangan ini dibuat disebabkan perbelanjaan menggunakan sampan dan tongkang semasa urusan perdagangan terlalu tinggi.

Pada mulanya dicadangkan supaya dibina sebuah jambatan kemudian disambungkan dengan tambak menuju ke Singapura. Akhirnya, dipersetujui dibina sebuah tambak dan dibuat sebuah pintu air pada tambak itu supaya boleh dilalui oleh kapal-kapal.

Cadangan ini mendapat perkenan dari Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim. Lok atau pun pintu air ini dibina sebelah menyebelah ialah untuk mengepung air supaya menjadi samarata ketika air pasang. Selain itu, Sultan Ibrahim juga berkehendakkan supaya tambak itu diperbesarkan dan dibina jalan raya supaya boleh dilalui oleh kenderaan dan orang-orang yang berjalan kaki.

Setelah segala cadangan atau ikhtiar difikirkan dan diperbincangkan, satu perangkaan perbelanjaan yang melibatkan negeri Johor dan Singapura telah dibuat. Pada mulanya Kerajaan Negeri Selat yang ketika itu memerintah Singapura dan juga Kerajaan Tanah Melayu tidak mahu mencampuri urusan pembinaan tambak itu.

Apabila hal ini dipersembahkan ke Bawah Duli Sultan Johor, baginda tidak rasakan perkara itu menjadi halangan dari meneruskan rancangan yang telah dibuat tetapi baginda mahukan supaya tol dikenakan kepada setiap kenderaan yang tidak didaftar di negeri Johor juga kepada rakyat bukan negeri Johor yang menggunakan tambak itu.

Langkah ini terpaksa dilakukan bagi menampung perbelanjaan pembinaan yang begitu tinggi. Akhirnya Kerajaan Negeri Selat dan juga kerajaan Tanah Melayu bersetuju untuk membiayai pembinaan tambak itu.

Apabila persetujuan dicapai di antara Kerajaan Negeri Johor, Pesuruhjaya Tinggi British dan Negeri-negeri Melayu Bersekutu maka kerja-kerja pembinaan mula dijalankan pada akhir tahun 1919.

Tambak ini telah direka khas oleh Messrs, Coode, Fitzmaurice, Wilson dan Mitchell Jurutera Westminster. Manakala kontrak pembinaan tambak ini diserahkan kepada Messrs, Topham, Jones dan Railton Limited, London.

Kerja-kerja pembinaan tambak Johor telah disiapkan dalam masa empat tahun. Pada 24hb Julai 1924, Tambak Johor telah dirasmikan oleh DYMM Sultan Ibrahim bersama-sama Pesuruhjaya Tinggi British dan juga Raja-raja Tanah Melayu. Sempena dengan perasmian itu, pejabat-pejabat kerajaan telah diberikan pelepasan am.


a. Bentuk Tambak Johor

Tambak ini berukuran enam puluh kaki lebar. Terdapat dua landasan keretapi dan jalan raya selebar dua puluh enam kaki. Panjang tambak ini ialah 3,465 kaki dan dalamnya empat puluh tujuh kaki paras air surut.

Pembetung air juga telah dibina dibahagian hujung tambak ini untuk menyekat sampah sarap yang memasuki ke pintu air di tambak itu. Pintu air ini berukuran seratus tujuh puluh kaki panjang, tiga puluh dua kaki lebar yang mana ia memberi kemudahan kepada kapal-kapal dan sampan-sampan yang lalu lalang di situ setiap masa.

Di bahagian bawah pintu air ini juga dibina saluran untuk membawa air bagi kegunaan harian ke pusat-pusat pembersih air di Singapura.

Untuk menentukan sempadan antara Johor dan Singapura telah dibina tembok yang bertuliskan huruf ‘S‘ bagi Singapura dan huruf ‘J‘ bagi negeri Johor. Pembinaan tembok ini dilakukan di awal pembinaan tambak Johor. Tembok ini terletak di tengah-tengah tambak.


b: Kos Pembinaan

Dari segi kos perbelanjaan telah timbul berbagai-bagai masalah pembayaran sehingga terpaksa dibawa ke England untuk memutuskan tanggungan kos pembayaran itu. Kerajaan Johor membayar sebanyak RM 12,346,233.84 dan kos bagi jalan juga dibahagikan seperti di bawah:

Kerajaan Johor RM 3,178,945.53
Kerajaan Singapura RM 1,362,404.92
Municipal Singapura RM 214,371.43
Jumlah RM 4,755,721.83

Pembayaran yang dibuat oleh pihak Bandaran Singapura adalah kerana menampung saluran paip air dari Gunung Pulai ke Singapura yang menggunakan jalan tambak.


c. Tujuan Pembinaan

Apabila perkembangan dan kemajuan negeri Johor mulai pesat, jelas kelihatan pembinaan tambak Johor akan memberikan banyak faedah kepada Johor dan juga Singapura.

Kesibukan di Selat Tebrau semakin bertambah apabila jalan keretapi Johor pada tahun 1909. Lantaran itu perkhidmatan feri semakin diperlukan. Di antara Johor Bahru dan Woodlands, setiap kali laluan enam buah lori barang dibawa oleh perkhidmatan feri ini. Apabila perkhidmatan keretapi antara Johor dan Singapura dihubungkan melalui Tambak Johor, kesesakan itu dapat diatasi.

Sebelum ini, jika dilihat pada tahun 1911, 11,500 buah lori telah diangkut dengan feri. Jumlah ini meningkat kepada 54,000 buah pada tahun 1917.


d. Tambak Johor Semasa Perang Dunia Ke-2

Bahang Perang Dunia II mula dirasai di Tanah Melayu dengan pendaratan askar-askar Jepun dari Division ke 18 di Kota Bahru, Kelantan pada 8hb Disember 1941. Disebabkan salah jangkaan, pihak British telah berundur ke Singapura dan meninggalkan Tanah Melayu tanpa pertahanan yang kuat.

Keadaan ini merupakan satu faktor kejayaan Jepun menakluki Tanah Melayu dengan mudah. Bagi penduduk negeri Johor, peperangan ini mula dirasai pada 11hb Januari 1941 apabila kapal-kapal terbang tentera Jepun mengebom Muar.

Pihak Inggeris yang bertahan di Muar terpaksa berundur ke selatan lagi akibat serangan Jepun yang bertubi-tubi itu. Ini membolehkan tentera Jepun mara ke Bakri, Segamat, Yong Peng dan juga Batu Pahat.

Apabila kawasan-kawasan tersebut telah jatuh ke tangan Jepun, pihak Inggeris merasakan tiada gunanya lagi meyekat kemaraan Jepun di Semenanjung. Oleh itu mereka bercadang untuk bertahan di Singapura sahaja. Pada hemat mereka, Jepun akan menyerang dari belakang iaitu Johor Bahru jika mereka masih lagi bertahan di negeri Johor.

Pengunduran segera terpaksa dilakukan apabila kawasan Johor Bahru telah dibom oleh Jepun pada 29hb Januari 1942. Untuk melambat-lambatkan kemaraan Jepun, tentera British telah meletupkan sebahagian daripada Tambak Johor pada jam 8.15 pagi pada 31hb Januari 1942.

Dua bulan kemudian, Tambak Johor telah diperbaiki semula oleh Jepun bagi memudahkan perhubungan antara Johor dan Singapura. Tambak Johor juga telah berubah wajah seperti yang terdapat pada hari ini iaitu ia tidak lagi mempunyai lok atau pun pintu air.


Sumber:
Arkib Negara
Cawangan Negeri Johor

Friday, October 30, 2009

Biografi Sultan Johor & Sultanah Johor

Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Almutawakkil Alallah, Sultan Iskandar Ibni Al-Marhum Sultan Ismail

image
  1. Diputerakan pada 8 April 1932 di Istana Semayam, Johor Bahru
  2. Baginda menerima pendidikan awal di Sekolah Rendah Ngee Heng, Johor Bahru sebelum melanjutkan pelajarannya di English College (sekarang Sekolah Sultan Abu Bakar) di Johor Bahru.
  3. Baginda seterusnya melanjutkan pelajarannya di Trinity Grammer School Australia dan selepas itu ke United Kingdom.
  4. Setelah menamatkan pengajiannya, baginda berangkat pulang ke Johor pada tahun 1956 dan terus berkhidmat sebagai Pegawai Kadet Johor Civil Service.
  5. Baginda telah dilantik sebagai Tengku Mahkota pada 29 April 1981.
  6. Pada 11 Mei 1981 baginda telah dimasyhurkan sebagai Sultan Johor yang keempat
  7. Baginda telah dilantik sebagai Canselor Universiti Teknologi Malaysia pada 5 April 1982
  8. Baginda ditabalkan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong VIII pada 15 November 1984
  9. Baginda pernah mendapat latihan asas ketenteraan dalam Pasukan Askar Timbalan Setia Negeri Johor (Johore Military Forces) yang diasas dan ditubuhkan oleh Almarhum Sultan Abu Bakar
  10. Pada masa lapang baginda gemar bermain polo, papan layar, memburu dan bermain golf.
  11. Baginda Sultan telah bernikah dengan Sultanah Hajah Zanariah binti Tengku Ahmad dan telah dikurniakan 10 orang anakanda - dua orang putera dan lapan orang puteri.

Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda, Sultanah Zanariah binti Al-Marhum Tunku Ahmad

image
  1. Seri Paduka Baginda Sultanah Zanariah binti Almarhum Tunku Ahmad berasal dari keluarga Diraja Kelantan
  2. Diputerikan pada 5 Julai 1940 di Dusun Green, Pasir Mas, Kelantan.
  3. Baginda mula mendapat pendidikan formal di Sekolah Sultanah Zainab, Kelantan pada tahun 1946.
  4. Kemudian baginda telah melanjutkan pelajaran baginda di Convent Bukit Nenas, Kuala Lumpur dari tahun 1950 hingga 1952
  5. Baginda meneruskan pelajaran di Sekolah Sultan Ibrahim, Pasir Mas.
  6. Baginda telah berangkat ke England dalam tahun 1954 untuk melanjutkan lagi pelajaran baginda di Upper Chime School Isle of Wight
  7. Dengan daya usaha baginda sendiri, baginda telah menubuhkan sebuah badan yang diberi nama Majlis Wanita Negeri Johor atau ringkasnya MAWAR.
  8. Pada masa lapang, baginda gemar beriadah, menunggang kuda, bermain golf, tenis dan membaca.

Biografi Menteri Besar Johor


1995 Hingga Kini - Y.A.B Dato' Haji Abdul Ghani Bin Othman

Kehidupan awal



Beliau dilahirkan di Sungai Mati, Muar, Johor. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Tingi Muar (High School Muar). Kemudian beliau menyambung pelajaran ijazah sarjana muda dalam bidang ekonomi di Universiti Australia dan sarjana dalam bidang ekonomi politik dari Universiti Queensland. Sekembalinya ke Malaysia, beliau menjadi pensyarah di Fakulti Ekonomi di Universiti Malaya (1974-1984) dan seterusnya dilantik sebagai Dekan Fakulti Ekonomi & Pentadbiran Universiti Malaya (1980-1982).

Jawatan



1993-1995: Menteri Belia dan Sukan Malaysia
1995 - kini: Menteri Besar Johor

Politik



Kerjaya politiknya mula berkembang apabila dilantik menjadi Ahli Dewan Negara pada Disember 1984 hingga Julai 1986 dan selepas itu, beliau telah dipilih menjadi Ahli Parlimen Ledang pada Ogos 1986. Pada Mei 1987 hingga November 1990, beliau telah dilantik menjadi Timbalan Menteri Tenaga, Telekom dan Pos dan kemudiannya menjadi Timbalan Menteri Kewangan mulai November 1990 hingga 30 November 1993.

Selepas itu, beliau dilantik menjadi Menteri Belia dan Sukan mulai 1 Disember 1993 hingga Mac 1995 dan mendapat jolokan sebagai ‘Bapa Rakan Muda’ kerana berjaya memperkenalkan program Rakan Muda yang mendatangkan faedah kepada golongan remaja dan belia. Pada 3 Mei 1995, khidmat bakti Abdul Ghani mula ditagih oleh rakyat Johor dan beliau bertanding di peringkat DUN Serom setelah lebih 10 tahun berkhidmat di peringkat Pusat.

Keluarga



Abdul Ghani yang berkongsi hidup dengan Datin Paduka Prof. Dr. Jamilah Arifin dikurniakan dua orang cahaya mata.

Anugerah



Pada tahun 1989, beliau dikurniakan pingat Seri Mahkota Johor (SMJ) oleh Baginda Sultan Johor. Pada tahun 1996 dikurniakan pingat DK(II) oleh Sultan Johor. Beliau pernah menerima anugerah dari Timesport sebagai Sport Toto Man of The Year Award pada 1994.

Wednesday, October 28, 2009

Review Of The Month : REXTREME'09





Salam PERMAJ, Alhamdullilah pada 16 hingga 18 Oktober 2009 yang lalu PERMAJ telah berjaya menjalankan satu lagi program iaitu Program Rekreasi Ekstrem (Rextreme) yang dijalankan di Mutiara Motors Resort di Tanjung Sedili, Kota Tinggi, Johor. Program yang bercorak santai ini telah disertai oleh 55 orang peserta dan dijalankan seperti Family Day PERMAJ. Kami semua bertolak dari UKM pada jam 6.00 petang dan tiba di Tanjung Sedili pada jam 12.00 Tengah Malam. Apabila sampai disana semua peserta bersama-sama mendirikan khemah dan seterusnya mendengar taklimat daripada penyelaras. Aktiviti pada malam itu diakhiri dengan minum malam.

Pada keesokkan harinya, semua peserta telah bangun seawal jam 6.00 pagi untuk solat Subuh berjemaah. Pada jam 8.00 pagi semua peserta berkumpul untuk menjalankan aktiviti senaman pagi dan poco-poco yang merupakan aktiviti wajib PERMAJ disetiap program. Seterusnya pertandingan Bola Sepak Pantai dan Bola Tampar Pantai mengambil tempat pada jam 9.00 hingga 10.30 pagi. Seterusnya aktiviti Kayak pula dijalankan dimana kebanyakkan peserta mengambil peluang berkayak yang merupakan aktiviti yang jarang sekali mereka rasai. Pada petang hari program adalah berbentuk santai dimana peserta-peserta diminta untuk membina Istana Pasir berdasarkan kreativiti masing-masing. Selepas itu aktiviti tanam bumi dijalankan bagi dimana kumpulan yang paling ramai ahlinya ditanam diisytihar pemenang.

Pada petang itu juga semua peserta bersama-sama membakar ayam bagi Majlis BBQ pada malam itu. Ada juga peserta yang mengambil peluang untuk bermain kayak dan mandi manda.
Majlis BBQ bermula pada jam 8.30 malam dan disambung terus dengan persembahan daripada setiap kumpulan. Rata-rata kumpulan memberikan persembahan yang memukau hingga membuatkan semua penonton ketawa pecah perut melihat gelagat persembahan daripada semua kumpulan.

Kessokkan harinya semua peserta bangun untuk solat Subuh berjemaah pada jam 6.00 pagi. Pada jam 8.00 pagi diadakan senaman pagi dan aktiviti larian pantai. Seterusnya pada jam 9.00 pagi aktiviti sukaneka dan tarik tali mengambil tempat dan merupakan aktiviti terakhir untuk program ini. Terpancar wajah ceria dan kepuasan di wajah setiap peserta apabila menyertai program ini. Kami semua bertolak pulang ke UKM pada jam 2.30 petang. Secara keseruluhannya program berjalan dengan lancar dan berjaya.

Thursday, October 8, 2009

Rextreme 16-18 Oktober 2009 ???

Salam PERMAJ, kami telah mendapat feedback daripada ramai ahli yang ingin menyertai Rextreme, namun mereka tidak dapat menyertai program ini kerana masa program dijalankan merupakan waktu study week. Mereka bertanyakan mengapa memilih tarikh ini alasan mereka waktu ini merupakan waktu hampir dengan exam dan ramai mahasiswa/i ingin mengulang kaji pelajaran, rata-rata yang bertanya merupakan ahli PERMAJ tahun 1.

Rasionalnya kami memilih tarikh tersebut ialah kerana waktu itu minggu study week baru sahaja bermula, kebiasaannya mahasiswa/i masa itu masih mencari rentak dan mood untuk memulakan study (mengikut pengalaman majoriti mahasiswa/i tahun 2 & 3). Maka telah menjadi tradisi PERMAJ untuk menganjurkan satu program yang berunsur sukan dan santai bagi memberi peluang kepada semua mahasiswa/i untuk menenangkan fikiran sambil mencari mood untuk memulakan study, Selain itu memberi peluang kepada mereka untuk merehatkan fikiran dan badan mereka selepas berjuang bersungguh-sungguh sepanjang 14 minggu pembelajaran.

Untuk pengetahuan ahli PERMAJ program ini akan dijalankan di Mutiara Motors Resort di Tanjung Sedili yang merupakan satu kawasan pantai yang sangat menarik. Aktiviti yang dijalankan adalah santai dan menarik. Tambahan pula program ini akan dijadikan hari keluarga PERMAJ yang akan menghimpunkan exco, ahli aktif, senior, alumni, penasihat dan ahli baru PERMAJ UKM. Maka kepada mereka yang berminat untuk menyertai program bolehlah mendaftarkan diri dengan sekretariat pendaftaran @ terus datang ke bilik PERMAJ. Penyertaan anda amat kami alu-alukan dan diharap entri ini dapat menjawab soalan anda mengapa kami memilih tarikh berkenaan.

Monday, October 5, 2009

Program Rekreasi Ekstrem (REXTREME)

Konvoi Raya PERMAJ 2009

Salam PERMAJ, Pada Hari Raya yang ke-7 yang lalu, kami barisan Exco PERMAJ telah menjalankan satu Konvoi Raya beramai-ramai di bahagian utara Johor iaitu di Kluang dan Batu Pahat. Pada Hari Raya ke-4 & Raya ke-6 sebelum itu telah dijalankan konvoi di kawasan Johor Bahru dan Mersing. Konvoi Raya merupakan acara tradisi yang dilaksanakan pada setiap musim hari raya dan tradisi ini diteruskan oleh kami dalam sambutan Hari Raya tahun ini. Konvoi ini bertujuan untuk merapatkan ukhwah setiap exco PERMAJ selain menyambut Hari Kemenangan umat Islam setelah Sebulan menunaikan Ibadah Puasa di bulan Ramadhan. Konvoi ini turut disertai oleh 3 orang senior PERMAJ. Berikut merupakan gambar di sekitar konvoi raya tersebut.



Majlis Berbuka Puasa Alumni PERMAJ

Salam PERMAJ, Pada 18 September 2009 yang lalu Persatuan Alumni PERMAJ telah mengadakan Majlis Berbuka Puasa di Hotel M-Suites Johor Bahru. Majlis tersebut telah dihadiri oleh hampir 100 orang alumni PERMAJ berlangsung dengan jayanya, santai & meriah dengan celoteh & gelagat anak-anak Alumni PERMAJ ini. Majlis Berbuka Puasa ini telah menghimpunkan ramai Alumni PERMAJ daripada pelbagai Batch PERMAJ yang berlainan dan majlis ini bertujuan untuk merapatkan ukhwah persaudaraan antara setiap Alumni yang berpayung dibawah nama PERMAJ. Dalam Majlis ini 3 orang Exco PERMAJ sesi ini berkesempatan untuk menyertai majlis ini. Berikut merupakan gambar-gambar sekitar majlis.




Gambar Sekitar Majlis Berbuka Puasa PERMAJ




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...